Isnin, 20 Julai 2009

Kecam tindakan wartawan menceroboh, cubaan murtad

Azamin Amin


KUALA LUMPUR - Sungguhpun percubaan memurtad orang Islam adalah menyalahi Artikel 11(4) Perelembangaan Persekutuan namun tindakan dua wartawan menceroboh gereja untuk menyiasat perkara tersebut dikecam dan tidak boleh diterima sama sekali.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Bahru Zulkifli Nordin berkata Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk menceroboh hak peribadi dan rumah ibadat penganut agama lain malah ketika perang Nabi Muhammad s.a.w sendiri melarang tentera Islam daripada memasuki dan menganggu rumah ibadat agama lain.

Beliau mengulas tindakan sebuah majalah terbitan bulan Mei 2009, yang membuat 'berita siasatan' berhubung tindakan murtad remaja Islam di sebuah gereja.

"Jika benar ada percubaan untuk murtadkan remaja Islam kepada Kristian, jalan terbaik adalah menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan," katanya dalam satu kenyataan di dalam blog peribadinya.

Sungguhpun begitu, beliau juga berkongsi keprihatinan sebilangan masyarakat Islam yang kecewa dengan kelemahan pihak berkuasa mengambil tindakan di atas aduan yang diterima seperti yang berlaku dalam kes Azlina Binti Jailani @ Lina Joy yang telah menukar agama kepada Kristian di sebuah gereja.

Zulkifli turut menasihati agar rakan-rakan bukan Islam menjaga sensitiviti perasaan umat Islam.

"Bila berlaku kes Lina Joy, sekumpulan bukan Islam mahu menggunakan kalimah Allah, kumpulan NGO Islam dan Majlis Peguam bertindak menjadi juara menyokong hak untuk murtad...ketika itu anda akan melihat tindak balas daripada orang Islam

"Kita sepatutnya berbangga sebab hidup dalam suasana harmoni lebih setengah abad kerana menghormati dan bertolak ansur antara satu sama lain. Tetapi bila anda menggugat agama lain, anda mengundang masalah," katanya.

Dalam pada itu beliau turut menyatakan bahawa tindakan yang dilakukan oleh dua wartawan itu 'tidak islamik' malah menggesa agar mereka meminta maaf kepada rakan-rakan penganut Kristian atas perbuatan mereka di samping menyeru agar pengarang majalah terbabit meletakkan jawatan. - azm _

Tiada ulasan: