UTUSAN ONLINE
IPOH - Kerajaan sedia menimbang untuk mengurangkan cukai pendapatan koperasi yang kini lebih tinggi daripada cukai pendapatan bagi sektor korporat.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai sebuah badan berorientasikan sosial, pertimbangan tersebut dilihat sebagai sesuatu yang wajar.
"Saya akan cadangkan perkara ini dibawa ke Kabinet untuk pertimbangan Menteri Kewangan sebab percukaian adalah di bawah Kementerian Kewangan," katanya selepas majlis sambutan Hari Koperasi Negara di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Cukai pendapatan koperasi yang dikenakan ketika ini adalah sebanyak 27 peratus berbanding cukai pendapatan bagi sektor korporat iaitu 25 peratus.
Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin menyarankan agar penubuhan koperasi diperbanyakkan di bandar-bandar supaya penduduknya boleh menjana ekonomi sekali gus mewujudkan kesejahteraan hidup bermasyarakat ke arah menuju gagasan 1Malaysia.
Dalam masa sama, beliau berharap, gerakan koperasi akan terus membantu kerajaan berperanan sebagai instrumen yang dapat mempercepatkan pencapaian objektif sosioekonomi negara seperti digariskan dalam teras ketiga Misi Nasional negara.
Untuk menjadi kompetitif katanya, koperasi tidak harus bertindak sendirian sebaliknya bekerjasama dengan syarikat-syarikat swasta bagi meningkatkan prestasi.
Sebagai sektor ketiga terbesar penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara selepas sektor awam dan swasta katanya, pertumbuhan koperasi diyakini akan dapat dirangsang melalui program-program pembangunan dan pengawalseliaan yang lebih berkesan.
Sehubungan itu jelas Muhyiddin, pihak kerajaan akan terus memberi sokongan dalam bentuk khidmat nasihat dan bantuan kewangan melalui Tabung Modal Pusingan (TMP) sebagai pinjaman mudah melaksanakan projek perniagaan.
"Sejak TMP diperkenalkan sehingga kini, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM337 juta bagi tabung ini dengan 1,631 koperasi telah mendapat manfaat dengan jumlah pinjaman yang diluluskan berjumlah RM610 juta," ujarnya.
Kata beliau, untuk tahun 2010, kerajaan akan menyalurkan bantuan pembangunan sebanyak RM14.12 juta dan sebagai tanda menyokong gerakan koperasi, kerajaan akan berusaha meningkatkan peruntukan pembangunan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).
Beliau berkata, pendekatan berkoperasi boleh mewujudkan keseimbangan dalam pengagihan kekayaan ekonomi negara, mengurangkan kadar kemiskinan dan mewujudkan perpaduan serta kesejahteraan di kalangan masyarakat.
Ketika ini, terdapat 6,084 buah koperasi yang dianggotai 6.5 juta orang dengan modal saham terkumpul berjumlah RM8.4 bilion di seluruh negara.
Sambutan Hari Koperasi Negara yang bertemakan Masyarakat Berkoperasi Jana Ekonomi selama dua hari itu turut dimeriahkan dengan ekspo perniagaan yang dikendalikan oleh koperasi-koperasi dari seluruh negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan