Rabu, 1 Julai 2009

Bapa azam berkempen pastikan calon BN menang

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA KRAI: Tuan Mat Tuan Sulong, 69, berazam turun berkempen untuk memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, yang diwakili anaknya, Tuan Aziz.

Beliau turut melahirkan keyakinan anaknya, Tuan Aziz, 39, yang diumumkan sebagai calon BN oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahad lalu, diterima semua golongan pengundi ekoran hubungan baiknya dengan masyarakat setempat kerana pernah bertugas di Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

"Saya akan turun berkempen untuknya walaupun kudrat kini tidak sekuat dulu, malah saya juga akan meminta bantuan saudara-mara dan kenalan di Manek Urai untuk turun padang memastikan BN mencapai kemenangan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tuan Mat, bekas guru Sains dan Matematik kini bertugas sebagai Penyelia Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di bawah Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kuala Krai itu, mengakui pada mulanya beliau agak keberatan melepaskan anaknya menjadi calon, tetapi selepas mengadakan solat istiqarah dan hajat, beliau kemudian mengubah fikiran.

"Bila ada ura-ura anak saya antara yang dipertimbangkan untuk menjadi calon, saya pada mulanya terasa berat kerana dia masih muda, tetapi selepas mengadakan solat istiqarah, saya katakan kepadanya kalau dipilih, bersedialah menjadi calon kerana ini adalah kuasa dan kehendak Allah SWT.

"Selepas dia diumumkan sebagai calon oleh Timbalan Perdana Menteri, saya bersyukur dan mendoakan kejayaannya. Sebagai bapa, saya memberikan nasihat dan kata-kata semangat, selain akan turut sama membantu berkempen sedaya yang termampu," katanya.

Beliau yang juga Ketua Umno Cawangan Sungai Tasik dalam DUN Guchil, Kuala Krai sejak 1974, berkata anak keempat dari enam beradik itu mula menunjukkan minat terhadap politik ketika menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan bakat kepemimpinannya terserlah sejak zaman persekolahan lagi apabila sering kali memegang pelbagai jawatan dalam persatuan.

Tuan Mat turut yakin anaknya tidak akan berdepan kesukaran untuk berdamping dengan masyarakat setempat kerana memang menjadi kebiasaan anaknya itu suka menolong orang..

"Ketika bertugas di Kesedar, anak saya ini sentiasa berurusan dengan penduduk kampung, jadi dia memang faham masalah dihadapi masyarakat setempat. Walaupun berpangkat pegawai di Kesedar, tetapi dia tak nampak macam pegawai dan senang berdamping dengan orang kampung," katanya.

Beliau berkata, ketika ini ada usaha pihak tertentu dari parti lawan yang melemparkan pelbagai tuduhan untuk memburuk-burukkan imej anaknya menjelang pilihan raya kecil berkenaan.

"Saya lebih mengenali Tuan Aziz, dia seorang yang jujur, malah saya sendiri sering kali memberi nasihat dan ingatan kepadanya agar tidak terbabit dalam gejala tidak sihat dan mengutamakan kepentingan rakyat. Dia juga dalam apa juga perkara akan merujuk kepada saya terlebih dulu untuk mendapatkan pandangan," katanya.

Tiada ulasan: