Rabu, 15 Julai 2009

AMK pelawa Pemuda BN sertai perhimpunan GMI

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Keputusan Pemuda Parti Gerakan bertindak bekerjasama dengan parti pembangkang dalam menjayakan demonstrasi besar-besaran Gerakan Mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (GMI) awal Ogos ini adalah satu tindakan yang berani.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin berkata, AMK menyambut baik semangat dan sokongan Pemuda Gerakan untuk bersama-sama memperjuangkan kepentingan hak asasi dengan menggesa pemansuhan Akta ISA tersebut.

“Atas semangat generasi muda yang sama ini, kami juga berharap selain Pemuda Gerakan, Pemuda Barisan Nasional (BN) yang lain terutama Pemuda UMNO akan turut serta menyertai perhimpunan GMI tersebut,” katanya, semalam.

Menurutnya, beliau akan menghantar surat jemputan rasmi kepada Pemuda BN bagi mempelawa mereka turut serta bersama-sama menyertai perhimpunan tersebut bagi kepentingan warga Malaysia.

“Saya akan berbincang dengan Dewan Pemuda Pas dan juga DAP untuk menghantar surat rasmi pelawaan tersebut berikutan sokongan padu yang diberikan daripada Pemuda Gerakan atas usaha murni ini," katanya

Perhimpunan besar-besaran anjuran GMI turut disertai parti-parti pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) hak asasi ini dijangkan diadakan pada bulan Ogos ini.

Kelmarin, Pemuda Gerakan akan menggerakkan sekumpulan ahlinya untuk menyokong perhimpunan aman Mansuh ISA pada 1 Ogos ini bersempena ulang tahun ke-49 akta itu

Tiada ulasan: