Selasa, 21 Julai 2009

98,000 penduduk miskin layak terima subsidi beras

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengenal pasti seramai 98,000 penduduk di negara ini yang layak menerima subsidi beras melalui sistem kupon.

Jumlah tersebut diperoleh melalui pemantauan secara berkala oleh rangkaian e-kasih di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar, sistem kupon yang dicadangkan oleh kementerian bagi membolehkan golongan berpendapatan rendah membeli beras jenis ST15 masih di peringkat kajian.

Menurutnya, kajian awal menunjukkan masalah di peringkat pemborong dan peruncit menjadi punca utama kumpulan sasaran gagal mendapat bekalan beras itu secara berterusan.

"Kita mempunyai tiga kategori kumpulan yang sepatutnya menerima subsidi ST15 iaitu golongan pedalaman, berpendapatan rendah di luar bandar dan berpendapatan rendah di bandar tetapi mereka gagal menerimanya ekoran masalah ketirisan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan kementerian itu di sini hari ini.

Menurut Noh, jika kementerian bersetuju menggantikan kaedah subsidi ST15 sekarang kepada kupon, kementerian akan melantik Bahagian Kawal Selia Padi Beras Negara untuk menguruskannya.

Minggu lepas, Noh mengumumkan cadangan sistem kupon itu sebagai langkah mengatasi masalah kekurangan bekalan beras jenis ST 15 di pasaran dan memastikan bekalan beras jenis itu dapat dinikmati oleh golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Terdahulu, Noh ketika berucap pada majlis itu berkata, pihak kementerian akan memperkenalkan sistem 'borang pelanggan' bagi meningkatkan sistem penyampaian kementerian itu akhir tahun ini.

Beliau berkata, sistem yang akan dikendalikan menerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) yang akan ditubuhkan pada 3 Ogos ini bertujuan mempermudahkan rakyat berurusan dengan kementerian secara efektif.

Menurutnya, melalui sistem itu, orang ramai yang datang ke kementerian akan diberikan borang yang mencatatkan nama, tujuan kedatangan dan tempoh masalah pelanggan itu dapat diselesaikan.

Orang ramai jelas beliau, tidak perlu lagi berulang-alik ke kementerian bagi mengetahui status urusan mereka sehingga tempoh yang diberikan itu tamat.

''Borang tersebut akan diletakkan di pejabat kementerian sehingga ke peringkat daerah,'' katanya.

Noh yakin sistem baru di bawah MPPP itu mampu menjadi jambatan perhubungan antara rakyat dengan kementerian serta agensi-agensi di bawahnya.

Katanya, beliau dan timbalannya akan turun padang bagi membuat pemeriksaan ke atas pegawai-pegawai untuk memastikan borang tersebut digunakan dan mencapai objektifnya.

"Kita harap pegawai kementerian tidak mengambil sikap sambil lewa terhadap urusan rakyat dengan melengah-lengahkan. Borang ini diadakan supaya rakyat tidak berterusan bertanyakan tentang urusan mereka," jelasnya.

Tiada ulasan: