Rabu, 18 Mac 2009

Saadun juga akan kemuka rayuan

Abdul Rahim Sabri


Ahli jawatankuasa Umno bahagian Bukit Katil, Melaka, Saadun Basirun akan mengemukakan rayuan terhadap penggantungan keahliannya selama tiga tahun, selepas didapati melakukan kesalahan rasuah dan sogokan politik oleh Lembaga Disiplin Umno.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Saadun yang juga setiausaha politik kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, beliau akan mengemukakan rayuan dalam masa yang terdekat.

Semalam Lembaga Displin Umno memutuskan Saadun dan dua lagi pemimpin Umno bahagian Bukit Katil - Rosli Hasan dan Zalina Ismail - didapati melakukan kesalahan rasuah dan sogokan politik.

Rosli yang juga ahli jawatankuasa bahagian manakala Zalina yang merupakan naib ketua Puteri bahagian yang sama, juga digantung keahlian selama tiga tahun mulai 12 Mac lalu.

Ketiga-tiga mereka merupakan ejen kepada Mohd Ali yang bertanding jawatan timbalan presiden.

Ekoran itu lembaga tersebut memutuskan bahawa Mohd Ali bertanggungjawab terhadap tindakan tiga ejennya itu - mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli Umno - dan dilarang bertanding jawatan berkenaan minggu depan.

Bagaimanpun lembaga tersebut tidak menggantung keahlian Mohd Ali, yang juga naib presiden, dalam Umno.

Saadun bagaimanapun, enggan mengulas lanjutan mengenai perkara itu, dan sebaliknya berkata beliau menerima keputusan Lembaga Displin Umno itu.

Ditanya sama ada Rosli dan Zalina juga akan mengemukakan rayuan, beliau menjawab: "Tidak tahu".

Menurutnya, penyokong Mohd Ali diminta bersabar dan menerima keputusan tersebut demi perpaduan parti.

Mohd Ali pula dilaporkan berkata beliau akan mengemukan rayuan kepada Lembaga Displin Umno hari ini.

Tiada ulasan: