Khamis, 26 Mac 2009

MB Selangor, empat Exco ambil alih tugas Elizabeth

SINAR HARIAN


SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersama empat Exco lain akan mengambil alih kesemua tugas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan yang juga Exco, Elizabeth Wong sehingga 15 April ini.

Keputusan tersebut dibuat selepas kerajaan negeri memutuskan untuk melanjutkan cuti Elizabeth ke tarikh tersebut memandangkan siasatan polis terhadap kes penyebaran gambar kontroversinya belum selesai.

Abdul Khalid berkata, keputusan sama juga dibuat selepas mengambil kira perbincangan beliau dengan Elizabeth yang berlangsung di kediaman rasminya Sabtu lepas.

"Mesyuarat (Exco) hari ini (semalam) memutuskan saya dan Teresa Kok akan mengambil alih tugas-tugas rasmi melibatkan Pelancongan, Ean Yong Hian Wah untuk Hal Ehwal Pengguna dan Rodziah Ismail serta Dr Xavier Jayakumar untuk Alam Sekitar untuk sementara waktu.

"Kerajaan negeri juga telah melantik Rodziah untuk menanggung tugas-tugas Elizabeth sebagai ADUN," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS) di sini semalam.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga memberi jaminan bahawa keputusaan tersebut tidak akan menjejaskan sebarang urusan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor.

"Kita akan membuat keputusan rasmi selepas 15 April ini meskipun pihak polis masih gagal menyelesaikan siasatan kerana mengambil kira banyak tugas kepentingan awam

"Keputusan muktamad tetap perlu dibuat selepas merasakan ruang selama sebulan setengah sudah cukup," katanya.

Pada masa sama, Abdul Khalid berharap semua pihak tidak lagi membuat sebarang spekulasi bagi menghormati hak peribadi Elizabeth.

Tiada ulasan: