Khamis, 26 Mac 2009

Dr Khir, isteri bakal dikena tindakan undang-undang

SINAR HARIAN


SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan isteri, Datin Seri Zaharah Kechik akan berhadapan dengan tindakan undang-undang sekiranya gagal menghadirkan diri sebagai saksi pada sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat).

Timbalan Pengerusi Selcat, Haniza Mohamed Talha berkata, pihak berkenaan (Dr Khir dan Zaharah) akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 3 Enakmen Penghinaan Dewan 2008 yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan.

“Setakat ini, kita tidak mahu bersangka buruk dan masih menganggap yang mereka akan hadir menjadi saksi pada sesi pendengaran yang kita telah tetapkan itu.

“Tetapi, sekiranya mereka enggan berbuat demikian, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Haniza, sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Mohamad Khir sepatutnya peka kepada perkara itu kerana sebelum ini pihaknya telah memberikan notis awal bagi memaklumkan perkara berkenaan.

“Jika saksi yang gagal hadir itu seorang ADUN, tindakan penggantungan keahlian sebagai ADUN boleh diambil selepas dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan.

“Jadi, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk mereka tidak hadir ke sesi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pihak jawatankuasa akan membuat laporan polis atas kesalahan yang dilakukan mengikut Seksyen 3 ini dan tindakan hanya akan diputuskan oleh mahkamah.

Kata Haniza, Dr Khir seharusnya patuh kepada Peraturan Tetap DUN Selangor kerana beliau tertakluk di bawah peraturan berkenaan.

“Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan boleh mengambil tindakan ke atas beliau mengikut peruntukan yang ditetapkan,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan mengatakan wujud komplot untuk menjejaskan reputasi Dr Khir kerana kerajaan negeri sengaja memilih tarikh sama dengan Perhimpunan UMNO, Haniza yang juga Timbalan Speaker DUN berkata, pihaknya telah berbincang mengenai tarikh sesi pendengaran umum berkenaan bersama-sama wakil rakyat Barisan Nasional (BN) iaitu Ismail Sani (Dusun Tua) dan Sulaiman Abdul Razak (Permatang).

“Kita telah lama berbincang dan sama-sama bersetuju mengenai pemilihan tarikh berkenaan. Malah, jika beliau tidak bersetuju dengan tarikh yang dipilih, beliau boleh bincang kerana kita telah memberikan notis awal mengenainya.

“Jadi, tidak timbul isu berniat jahat ataupun sengaja menganiayai beliau dalam hal ini,” katanya.

Terdahulu, Dr Khir dan isterinya, Datin Seri Zaharah Kechik antara 11 saksi utama yang akan dipanggil pada sesi pendengaran awam Selcat bermula Isnin lalu.

Sesi pendengaran awam kali pertama itu akan mendengar isu penggunaan wang penajaan Balkis oleh tiga anak syarikat kerajaan negeri serta syarikat swasta bernilai jutaan ringgit dan kedudukan terkini Balkis.

Tiada ulasan: