Khamis, 26 Mac 2009

14 peserta demo Hindraf didenda RM10,500

MALAYSIA KINI


Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman denda RM750 setiap seorang kepada 14 orang yang terlibat dalam perhimpunan haram anjuran Hindraf pada 25 November 2007.

Hakim Hasbi Hasan menjatuhkan hukuman itu setelah mereka mengaku bersalah mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan iaitu menunjukkan kekerasan jenayah untuk menakutkan pegawai polis yang menjalankan tugas.

Beliau berkata jika mereka gagal membayar denda itu mereka akan dikenakan hukuman penjara selama sebulan, lapor Bernama.

Dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, seorang daripada mereka, G K Ganesan yang mewakili kumpulan itu, memohon agar mereka dikenakan denda yang rendah.

Menurutnya, kebanyakan mereka pesalah pertama dan bekerja sebagai buruh dan pekerja kontrak yang menerima gaji harian antara RM20 dan RM30.

Dia juga merayu supaya mereka tidak dikenakan hukuman penjara.

Kesemua mereka kemudiannya membayar denda itu.

Pendakwaan diketuai oleh Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman.

Tiada ulasan: