Rabu, 25 Mac 2009

Pemimpin Umno sepakat mahu transformasi

BERNAMA


KUALA LUMPUR Pemimpin Umno bersepakat mahu tranformasi parti dilakukan dalam memastikan parti itu terus relevan sebagai wadah orang Melayu dalam menghadapi cabaran semasa.

Naib Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata "anggota parti perlu sedar tentang betapa pentingnya mereka membuat perubahan dan pembaharuan untuk memastikan Umno terus relevan di kalangan anggota parti itu sendiri dan rakyat.

"Saya amat menyetujui apa yang dikemukakan oleh Najib itu," katanya mengulas ucapan Najib semasa merasmikan serentak persidangan perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini. Beliau berkata ucapan Najib itu juga merupakan petanda pertama tentang langkah-langkah yang akan diambil oleh Najib apabila mengambil alih kepimpinan parti itu.

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhamad Taib berkata cadangan Najib supaya mengubah cara parti memilih pemimpin termasuk sistem kuota, "kerana sistem kuota sedia ada sudah lapuk." "Ia juga dieksplotasi sesetengah pihak untuk mendapat jawatan," katanya.Anggota Majlis Tertinggi Datuk Seri Shafie Apdal pula berkata tindakan Najib menekankan aspek pemimpin berkualiti menunjukkan Timbalan Presiden Umno itu mahukan perwakilan Umno memilih pemimpin yang berintegriti, bermoral dan berupaya memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Hanya dengan barisan kepimpinan yang mempunyai kualiti sedemikian, Umno boleh diperkuatkan dan memperjuangkan rakyat," katanya.

Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula berkata ucapan Najib adalah "satu ucapan realistik, tegas, berpijak di bumi nyata dan saya percaya jika diberi barisan kepimpinan yang boleh membantu, saya yakin apa diharapkan boleh jadi kenyataan."

Hishammuddin yang juga calon Naib Presiden Umno berkata apa yang lebih penting barisan kepimpinan baru yang dipilih perlu menyokong hasrat Najib untuk menjadikannya sebagai realiti.

Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz berkata beliau gembira kerana apa yang dilakukan oleh pergerakan itu untuk parti selama ini dihargai pucuk pimpinan."Itu bagi saya dan rakan-rakan adalah satu motivasi kecuali mereka yang tidak nampak, dia tak tahulah tapi bagi ramai wanita Umno, komitmen kita memang cara begitu.

"Kita ialah parti akar umbi, kita bukan NGO. Kita parti politik, kalau kuasa politik hilang, jangan bercakap hal apapun. Ini tugas kita kerana kita tulang belakang, dan janganlah kita menyimpang dari haluan sebenar kita," katanya.

Anggota exco Wanita Datuk Kamilia Ibrahim pula menyifatkan ucapan Timbalan Presiden Umno itu dapat memberi satu nafas baru kepada parti dan "telah membuka satu jalan, satu hala tuju yang akan membuka minda anggota, pemimpin Umno untuk sama-sama memeta menuju kepada wawasan yang lebih gemilang kepada parti dan negara."

Tiada ulasan: