Jumaat, 27 Mac 2009

Tidak letak jawatan, Umno akan kekal imej rosak

Roy Rasul


KUALA LUMPUR - Semua menteri termasuk Menteri Dalam Negeri (KDN), Dato' Seri Hamid Albar sewajarnya mengikut jejak Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Shahril Samad yang akan melepaskan jawatannya ekoran tewas dalam pemilihan Majlis Tertinggi (MT) Umno semalam.

Demikian ditegaskan Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub yang menyifatkan keputusan Shahril itu memberi isyarat jelas bahawa 'team' baru MT itu tidak memerlukan lagi perkhidmatan mereka yang kecundang pada pemilihan tersebut.

"Saya rasa Hamid Albar dan mereka yang lain perlu mengundur diri daripada barisan kabinet," katanya semasa dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan apa yang dibuat oleh Shahril itu seharusnya mereka membuat satu pakej untuk mengundur diri.

Sebuah akhbar arus perdana hari ini dipetik, Shahril memutuskan untuk melepaskan jawatan menteri setelah gagal pertahankan jawatan dalam MT di Perhimpunan Agung Umno semalam.

Ini kata Salahuddin, di antara isyarat yang diterima mereka yang tewas dalam pemilihan tersebut, rakyat tidak boleh menerima orang yang terlibat dengan amalan rasuah.

Bahkan ujarnya, sekiranya orang lain enggan menuruti Shahril bererti Umno tetap kekal dengan imejnya yang rosak kerana mengamalkan politik wang.

Namun dakwanya, sebahagian daripada barisan baru MT masih tidak boleh bersih dengan imej tersebut.

Dalam pada itu, katanya, secara umumnya barisan baru MT Umno yang dibentuk itu memberi satu nafas baru kepada Presiden Umno, Dato' Seri Najib Tun Razak.

Pun begitu katanya, beliau melihat imej umno tidak dapat dipulihkan sepenuhnya.

"Apa pun saya rasa PAS dan Pakatan Rakyat tidak boleh memandang rendah atau enteng dengan barisan baru itu khususnya dalam menghadapi pilihan raya kecil di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai pada 7 April ini," katanya.

Menurutnya, Pakatan Rakyat perlu serius dan berwaspada dengan kepimpinan baru Umno itu.

Katanya, kemungkinan mereka akan lakukan apa saja bagi meyakinkan rakyat terhadap kepimpinan baru Najib. - mks. _

Tiada ulasan: