Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB
SUNGAI PETANI:Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin calon mereka S. Manikumar berpeluang memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Bukit Selambau pada 7 April ini atas kelebihannya dapat memancing pengundi baru dan golongan muda.
Pengarah Pilihan raya PKR DUN Bukit Selambau, Datuk Johari Abdul berkata, Manikumar, 35, seorang yang muda dan mudah bergaul dengan semua kaum.
"Kami yakin dapat memperoleh majoriti undi kerana calon PKR lebih muda dan berupaya mendapat sokongan daripada semua lapisan masyarakat," katanya pada sidang media di Yayasan Aman, Sungai Lalang di sini hari ini.
Kata beliau, semua petugas parti itu telah mula berjumpa dengan pengundi di Bukit Selambau selepas proses penamaan calon berakhir tengah hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 22 bilik gerakan PKR telah dibuka dan para petugas akan memasuki semua kampung, ladang, pasar tani dan mengadakan lawatan dari rumah ke rumah bagi memastikan calon mereka dikenali pengundi.
Sementara itu, Pengarah Strategi Pilihan Raya PKR, Saifuddin Nasution berkata, walaupun polis melarang mana-mana parti mengadakan ceramah di tempat terbuka, pihaknya hanya meminta untuk mengadakan ceramah di premis terhad.
"Kita tidak pernah minta mengadakan ceramah di tempat-tempat terbuka. Kita hanya minta kebenaran mengadakan di premis-premis yang beralamat.
"Bagaimanapun, kalau dibuat dalam premis, mungkin hanya 30 orang yang boleh masuk dan yang lain-lain itu akan berkumpul luar.
"Adakah yang berkumpul di luar itu pun dikira perhimpunan haram? Memang ceramah kita selalunya popular," katanya.
Sidang media itu turut dihadiri Manikumar.
Beliau berkata, sebagai sebuah parti politik, PKR bertanggungjawab untuk menyampaikan mesej kepada rakyat melalui ceramah yang diadakan dan pihak polis perlu menjalankan tugas mereka untuk menjaga ketenteraman.
"Kerja polis menjaga keselamatan. Kita hormat kerja mereka seperti mana yang mereka minta kita hormati.
"Kalau parti politik tidak dibenarkan mengadakan ceramah, ia tidak masuk akal. Kita akan teruskan ceramah kita seperti biasa," katanya.
Berhubung sokongan terhadap PKR, Saifuddin berkata, walaupun ia adalah pertandingan 15 penjuru, beliau percaya, tidak akan wujud 'pecah undi' yang begitu besar kerana ia mempunyai tapak sokongan kukuh di Bukit Selambau.
"Kita akan kekalkan tapak sokongan itu malah akan menambah lagi.
"Dalam tempoh sembilan hari berkempen, kita akan mendekati 35,000 pengundi yang ada di kawasan ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan