Sabtu, 21 Mac 2009

RM1.5 juta bela anak yatim, warga emas

SINAR HARIAN


AMPANG - Nasib warga emas dan anak yatim kini terbela apabila Yayasan Bakti Khidmat Masyarakat Malaysia (YBKMM) dengan kerjasama Koperasi Pembangunan Komuniti Malaysia Berhad bakal membangunkan komuniti warga emas dan anak yatim secara berkelompok.

Cadangan pembangunan rumah anak yatim dan warga emas itu adalah kerana keprihatinan dan rasa tanggungjawab pihak tersebut bagi membela nasib mereka yang amat memerlukan perhatian dan jagaan yang rapi.

Pengerusi YBKMM, Datuk Seri Panglima Dr Saharuddin Awang Yahya berkata, pembangunan komuniti itu bakal dibangunkan di Kampung Sungai Gahal, Batu 14 Hulu Langat dan dijangka siap pada penghujung tahun ini.

Pembinaan dan penyelenggaraan rumah anak-anak yatim dan warga emas itu menelan belanja sebanyak RM1.5 juta yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas yang lebih menekankan kepada keselesaan serta ketenteraman penghuninya.

“Kami menggunakan konsep yang berbeza dengan rumah anak yatim dan rumah warga emas sedia ada. Kami lebih menekankan kepada konsep kasih sayang dan suasana tenteram kepada penghuninya.

“Rumah anak yatim dan rumah orang tua didirikan secara bersebelahan. Mereka amat memerlukan antara satu sama lain. Warga emas yang ditinggalkan di rumah orang tua kebanyakannya kekurangan kasih sayang daripada anak-anak mereka.

Begitu juga anak-anak yatim yang tidak mempunyai ibu bapa amat memerlukan kasih sayang daripada orang tua,” katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, pembinaan berkelompok itu juga akan didirikan bangunan pejabat yang terletak di bahagian belakang rumah anak yatim dan warga emas kerana menurut Saharuddin, ia lebih mengutamakan suasana selesa kepada mereka agar tidak berasa terkongkong sebaliknya merasakan seperti tinggal di rumah mereka sendiri.

Malah katanya, kawasan itu juga lebih menekankan kepada konsep perkampungan untuk menerapkan budaya kemelayuan dan ketimuran kepada penghuninya yang turut dilengkapi kemudahan asas yang sempurna.

Menurutnya, dengan adanya konsep tersebut ia dapat mewujudkan perhubungan yang baik antara mereka di mana mereka saling melengkapi bagai sebuah keluarga.

“Sehingga kini kami sudah mempunyai seramai 40 orang anak-anak yatim yang ditempatkan bersama keluarga angkat di bawah pembiayaan YBKMM sepenuhnya sementara menunggu rumah anak yatim itu siap.

“Penghuni di sana nanti akan diuruskan dengan sebaik mungkin di mana mereka akan disediakan jadual seharian yang lengkap dengan aktiviti dan program keagamaan. Bagi anak yatim pula, aspek pendidikan tidak akan diabaikan. Kami mahu mereka yang tinggal di sana nanti akan berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran,” katanya.

Beliau berkata, YBKMM lebih menekankan kepada didikan agama kepada penghuninya kerana menurut beliau ajaran agama amat penting dan menjadi pendorong serta pegangan kehidupan khususnya kepada kanak-kanak untuk menempuhi alam dewasa manakala menjadi bekalan kepada warga emas.

Selain itu, pihak YBKMM juga bakal menganjurkan program malam amal bagi mengumpul dana untuk pembinaan pembangunan komuniti tersebut yang akan diadakan di Hotel Flamingo pada 11 April 2009.

“Saya berharap dan berbesar hati sekiranya ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan bagi memenuhi dana tersebut dan membantu YBKMM dari segi kewangan mahupun peralatan,” katanya.

Tiada ulasan: