Selasa, 10 Mac 2009

Najib tidak layak bentang bajet mini

Irwan Muhamad Zain


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak hadir mendengar pembentangan Bajet Mini petang ini kerana Menteri Kewangan, Dato' Seri Najib Tun Razak tidak layak untuk membentangkannya kerana masih belum dibersihkan oleh mana-mana mahkamah dalam isu-isu yang berkaitan dengan salah urus kewangan negara.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar menegaskan ahli parlimen Pakatan Rakyat tidak menolak bajet mini tersebut malah mengalu-alukan sebarang bentuk penambahan peruntukan yang mendatangkan faedah kepada rakyat.

"Kita sepakat mengambil keputusan untuk tidak mendengar pembentangan bajet mini yang dibuat oleh Menteri Kewangan kerana kita merasakan beliau tidak layak untuk berbuat demikian.

"Namun itu tidak bermakna kita menolak bajet mini ini malah kita mengalu-alukannya dan akan berbahas soal bajet ini dalam perbahasannya kelak," tegas beliau kepada Harakah.

Beliau menegaskan Najib yang banyak dikaitkan dengan isu moral dan juga isu salah urus kewangan negara seperti pemberian komisyen pembelian kapal selam. Tanya beliau, bagaimana orang yang dikaitkan dengan isu sebegitu mahu membentang bajet?

Bagaimanapun Mahfuz menegaskan, ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat akan tetap membahaskan bajet mini tersebut ketika sesi perbahasan yang dijangka bermula pada 11 Mac.

Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd. Najib Tun Razak pada 10 Mac lalu membentangkan pakej rangsangan kedua atau bajet mini bernilai RM60 bilion di Parlimen. - tmj_

Tiada ulasan: