Rabu, 18 Mac 2009

AMK Sabah dakwa Japlin Akim ambil rasuah

BERNAMA


KOTA KINABALU: Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah membuat laporan polis terhadap Ketua Pemuda Umno Sabah dan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Usukan Datuk Japlin Akim yang dikaitkan dengan amalan rasuah politik.

Laporan itu dibuat oleh Ketua Penerangannya Zainudin Hassan di ibu pejabat polis Karamunsing, dekat sini hari ini.

"Kita mahu polis menyiasat perkara ini dan mendakwa beliau di bawah undangundang jenayah jika ada bukti yang cukup untuk berbuat demikian," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis.

Japlin yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri merupakan antara pemimpin Umno yang didapati bersalah dan digantung keanggotaan selama tiga tahun oleh Lembaga Disiplin Umno yang mengadakan mesyuarat di Kuala Lumpur semalam.

Turut digantung keanggotaan selama tiga tahun ialah Ketua Wanita Umno bahagian Bandar Tun Razak Salmah Pin, Ketua Pemuda Umno Bahagian Maran Mohamad Najuib Mohamad Shahaimi, Anggota Jawatankuasa (AJK) Umno Bukit Katil Saadun Basiron, AJK Umno Bukit Katil Rosli Hasan dan Naib Ketua Puteri Umno Bukit Katil Zalina Ismail.

Sementara itu, seorang anggota Umno dan pengundi kawasan DUN Usukan, Maskrun Amie turut membuat laporan polis terhadap Japlin di balai polis yang sama.

Tiada ulasan: