Rabu, 25 Februari 2009

SPRM perlu profesional

Oleh HATA WAHARI


KUALA LUMPUR – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu melaksanakan tanggungjawabnya dengan adil, profesional, tanpa rasa takut dan tidak memihak kepada sesiapa pun.

Menurut Perdana Menteri, setiap anggota SPRM tanpa mengira pangkat dan kedudukan perlu melaksanakan tugas pada tahap profesional paling tinggi dan berdedikasi dalam penguatkuasaan pencegahan rasuah.

‘‘Pegawai dan anggota SPRM perlu mematuhi undang-undang semasa bertugas kerana tindakan sebaliknya akan memusnahkan usaha untuk melakukan transformasi dalam badan ini melalui peruntukan undang-undang,’’ katanya ketika berucap melancarkan SPRM di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz; dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan.

Perdana Menteri memberitahu, kejayaan SPRM bergantung sepenuhnya kepada pegawai dan kakitangannya dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Katanya, pengalaman selama empat dekad sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) dengan banyak perkara yang telah dipelajari, maka adalah wajar ia digunakan untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan sebaik mungkin.

‘‘Di bahu pegawai dan kakitangan SPRM terpikul harapan negara untuk melihat rasuah dihapuskan dan ini tentunya satu tanggungjawab yang besar serta perlu dikongsi dengan setiap golongan masyarakat.

‘‘Kerajaan mengakui peranan SPRM untuk memerangi rasuah serta menghargai sumbangan tersebut dan akan terus meningkatkan sumber serta inisiatif bagi memastikan pegawai serta kakitangan suruhanjaya mampu melaksanakan tugas dengan lebih baik,’’ katanya.

Perdana Menteri memberitahu, perang ke atas rasuah tidak boleh dihapuskan melalui polisi, kempen, undang-undang dan hukuman yang dikenakan oleh kerajaan sahaja.

Kata beliau, isu mengenai rasuah serta integriti melibatkan masyarakat, oleh itu usaha tersebut perlu mengambil kira peranan semua pihak termasuk di sektor awam, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga individu.

‘‘Saya yakin kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Najib selepas ini juga berazam untuk memastikan kejayaan dalam agenda pencegahan jenayah di negara ini.

‘‘Saya juga berpendapat setiap golongan masyarakat akan memberi tindak balas positif membantu melakukan transformasi dalam landskap moral dan etika yang akan menjadikan negara ini paling bermoral serta kurang rasuah di dunia,’’ katanya.

Tiada ulasan: