BERNAMA
KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini menafikan bahawa kerajaan negeri itu telah menubuhkan Majlis Perundingan Antara Agama dan menyifatkannya sebagai satu fitnah terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Berang dengan laporan muka depan Utusan Malaysia mengenai perkara itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan bercadang untuk menyaman Utusan Malaysia dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Shabudin Yahaya.
“Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak pernah menubuhkan Majlis Perundingan Antara Agama sepertimana yang disebut YDP (MAINPP) Shabudin. Saya tidak tahu beliau dapat (dari) sumber mana menyatakan kita ada menubuhkan majlis perundingan ini.
“Saya akan mengarahkan peguam saya untuk menyaman Utusan Malaysia dan Shabudin. Saya rasa semua ini sudah lebih dan tidak boleh diterima.
“Kita akan jumpa di mahkamah. Saya akan minta Utusan (Malaysia) dan Shabudin jawab dan bayar pampasan serta ganti rugi sewajarnya dan juga meminta maaf secara umum.
“Walaupun ada tanda soal (pada tajuk berita), di bawah undang-undang ini pun dianggap sebagai fitnah kerana tidak ada Majlis Perundingan Antara Agama (ditubuhkan). Kalau ada bukti, kita jumpa di mahkamah.
“Saya yang mempengerusikan mesyuarat Exco, saya tahu apa yang berlaku dalam kerajaan negeri,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.
Dalam laporan itu, Shabudin mendakwa bahawa majlis itu ditubuhkan tahun lalu apabila pakatan pembangkang yang diterajui oleh Guan Eng mengambil-alih pemerintahan Pulau Pinang dan dilihat sebagai satu cubaan menghina Islam dengan meletakkan Islam sama taraf dengan agama lain dan ia mesti dihentikan.
Guan Eng berkata, saman terhadap Utusan Malaysia dan Shabudin akan dibuat atas kapasitinya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan juga Setiausaha Agung DAP.
“Saya tahu mereka akan menggunakan isu ini untuk pilihan raya kecil yang akan datang dan kita tidak akan membenarkan mereka menabur fitnah dan tohmahan yang menjijikkan seperti ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan