Jumaat, 27 Februari 2009

Gelombang Pertama Terengganu Melanda Bukit Gantang

Wartawan Buletin


Bukit Gantang – Gelombang pertama pasukan petugas PAS negeri Terengganu yang akan bertugas pada pilihanraya kecil parlimen P.095 Bukit Gantang sedang melanda kawasan pilihanraya tersebut.

Pasukan gelombang tersebut yang terdiri dari Yang DiPertua, Timbalan Yang DiPertua dan Setiausaha PAS kawasan-kawasan sedang bergerak dari negeri negeri Terengganu menuju ke kawasan peti-peti undi dimana mereka ditugaskan kelak.

Selain pasukan JPN negeri Terengganu yang telah pun mengadakan penyelarasan awal pada minggu lalu, pasukan petugas dari Kemaman merupakan kumpulan pertama yang tiba disini semalam.

Buletinonline yang turut bersama dengan kumpulan tersebut sampai di peti undi Pengkalan Aor sekitar jam 9.00 malam.

Pasukan Kemaman yang diketuai oleh Hj Hanafiah Ramly@Mat berkata beliau dan pasukannya telah pun bermesyuarat dan menyelaraskan beberapa perkara penting seperti kemudahan lojistik, penginapan, bekalan dan rancangan gerakkerja kempen dengan pihak peti undi.

“Sebanyak tiga buah rumah disediakan untuk penginapan para petugas muslimat dan dua buah untuk muslimin, selain beberapa buah surau yang telah dikenalpasti untuk transit serta perbekalan,

“lima belas agenda program gerakkerja kempen telah dirangka yang turut melibatkan program makan besar di sebuah estet getah yang melibatkan 400 pengundi bukan Islam,”katanya kepada Buletinonline.

Menurutnya, penyelarasan penempatan untuk pasukan Kuala Terengganu yang akan ditempatkan bersama-sama Kemaman di Pengkalan Aor juga hampir selesai.

Pengerusi UPU Pengkalan Aor, Ismail Kamarudin , menzahirkan rasa gembira dan berbesar hati menerima kedatangan para petugas dari luar.

Beliau berkata selain negeri Terengganu, para petugas dari negeri Johor dan DUN Sungai Rengas Perak akan bersama-sama para petugas tempatan untuk memastikan DUN Changkat Jering dan Parlimen Bukit Gantang kekal di tangan Pakatan Rakyat.

“Mula-mula saya rasa terkedu apabila menerima berita Parlimen Bukit Gantang yang kosong kerana Ustaz Ruslan meninggal dunia,

“kemudian, UPU kami di sini baru sahaja dibentuk akibat pecahan sempadan yang berlaku pada tahun 2008, dari 3 cawangan kini hanya tinggal 1 cawangan,

“tapi apabila, sahabat-sahabt dari luar yang menefon dan datang untuk membantu, kami disini terus bangkit dan bersemangat,”ujarnya.

Beliau berkata UPU Pengkalan Aor menang dengan majoriti 170 undi pada pilihanraya umum ke 12, Mac 2008, dimana terdapat pertambah seramai 205 pengundi menjadi 3301 orang dari jumlah sebelumnya 3106 orang.

Katanya undi bukan Melayu akan jadi penentu bagi UPU Pengkalan Aor yang terdiri dari Melayu sebanyak 51.17%, Cina 33.99% dan pengundi India sebanyak 14.81%.

Tiada ulasan: