BERNAMA
ALOR SETAR: Hanya sembilan anggota Exco kerajaan negeri Kedah akan mengangkat sumpah pada 3 Mac depan, manakala satu lagi kekosongan jawatan itu hanya akan diisi selepas pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau 7 April ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, tiada pelantikan muka baru untuk mengisi kesemua jawatan sembilan Exco berkenaan.
"Dari segi portfolio, ada perubahan sikit-sikit, tidak ada perubahan besar dan untuk jawatan yang kosong, sesiapa (calon India) dari Pakatan Rakyat yang menang, mungkin boleh dilantik jadi Exco," katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.
Jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Perpaduan, Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India kosong, selepas penyandangnya V.Arumugam meletak jawatan pada 8 Feb lalu.
Sementara itu, Azizan berkata kerajaan negeri akan tetap meneruskan pelaksanaan dasar syarat kuota pemilikan 50 peratus Bumiputera dalam projek perumahan di negeri itu, yang berkuatkuasa pada 1 Sept tahun lalu.
"Di samping itu kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada projek pembinaan rumah kos rendah dan sederhana kerana rakyat di negeri ini lebih memerlukan rumah murah berbanding mewah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan