Selasa, 24 Februari 2009

36 laporan polis terhadap Ahmad Said

Pakatan Rakyat


Sebanyak 36 laporan polis dibuat oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri dan bahagian di seluruh negara terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berhubung kenyataannya mengenai hasil siasatan SPRM terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pada 20 Februari lalu, Ahmad Said dilaporkan berkata pihaknya mempunyai bukti kukuh berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa oleh menteri besar Selangor itu berkaitan dakwaan sumbangan 46 lembu korban dan kos selenggaraan kereta Lexus milik peribadinya menggunakan dana kerajaan negeri.

AMK pusat membuat laporan polis tersebut di Balai Polis Dang Wangi, Jalan Campbell di ibunegara hari ini.

Laporan itu dibuat oleh ketuanya, Shamsul Iskandar Md Akin pada kira-kira jam 12.10 tengahari tadi.

Hadir sama kira-kira 20 penyokong AMK, termasuk exco AMK, Hasmuzair Hassan, dan dua pemimpin AMK Wilayah Persekutuan.

Sehingga ini, kata Shamsul, 36 laporan polis telah dibuat oleh AMK negeri dan bahagian di seluruh negara.

Turut membuat laporan hari ialah AMK Selangor, Johor dan Perlis.

Di Selangor, laporan tersebut dibuat oleh ketuanya, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam kira-kira jam 1.30 petang.

Menurut Ketua Penerangannya, Mazli Saring berkata, 22 bahagian AMK di negeri itu akan membuat laporan yang sama esok.

Manakala di Perlis pula, ketua AMK negeri, Zamri Sapar membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, di Kangar.

Di Johor, laporan polis tersebut dibuat di Balai Polis Johor Bahru Central kira-kira jam 1.15 petang tadi oleh ketua AMK negeri, Zabidie Abas.

Dalam laporan tersebut, Zabidie mendakwa Ahmad Said menyalahgunakan kuasa beliau dengan melanggar Akta SPRM yang memperuntukkan kuasa pendakwaan kepada Jabatan Peguam Negara.

Beliau juga mendakwa tindakan Ahmad Said itu mengganggu gugat kestabilan kerajaan Selangor, di samping mempersoalkan profesionalisme SPRM dalam mengendalikan kes-kes rasuah.

Tiada ulasan: