Rabu, 25 Februari 2009

'Peluang saya menang 50-50'

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Shahrizat Abdul Jalil (gambar) menyifatkan peluang beliau untuk menang kerusi ketua pergerakan itu adalah 50-50.

Menurutnya, beliau dan Ketuanya, Tan Sri Rafidah Aziz mempunyai harapan yang sama memandangkan semua ahli pergerakan itu sudah lama mengenali mereka.

"Kita sudah lama berjuang. Cuma minat ahli sekarang ini hendak tahu ke arah mana kita hendak bawa Wanita UMNO di era baru ini.

"Suka tak suka senario politik sudah berubah dan tuntutan masyarakat terutama daripada kaum wanita sudah berubah lalu kita perlu peka terhadap soal itu," katanya kepada pemberita selepas majlis cabutan nombor calon bagi pemilihan UMNO Mac ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Shahrizat yang sah bertanding bagi jawatan nombor satu pergerakan itu akan menentang Rafidah pada pemilihan parti itu nanti.

Nama Shahrizat diundi menduduki tempat kedua dalam kertas pengundian selepas Rafidah pada majlis cabutan yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO.

Rafidah bagaimanapun menghantar wakil pada majlis cabutan nombor itu.

Shahrizat berkata, beliau yakin dapat membawa perubahan kepada Wanita UMNO berdasarkan pengalamannya selama beberapa tahun sebagai menteri Kabinet yang menjaga hal ehwal wanita.

Dalam pada itu, Datuk Kamilia Ibrahim yang menjadi calon tunggal untuk jawatan Naib Ketua Wanita UMNO disahkan menang tanpa bertanding manakala 50 calon pula sah bertanding jawatan exco Wanita UMNO.

Sementara itu, Tan Sri Napsiah Omar kekal sebagai Pengerusi Tetap Wanita UMNO manakala empat nama sah bertanding jawatan Timbalan Pengerusi Tetap Wanita UMNO.

Mereka ialah Rosdianah Md. Nor, Rohani Abu Hassan, Datuk Sharifah Aminah Syed Ahmad dan Senator Datuk Saripah Aminahbi Syed Mohd.

Tiada ulasan: