WAN NORDIN WAN YAACOB
ANALISA : Kemelut yang melanda di Perak sebenarnya mengulangi peristiwa 1998 walaupun dalam 'skala' yang sedikit berbeza.
Pada tahun 1998 Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr.Mahathir Mohamad tersilap kira sedangkan beliau sendiri tidak menjangkakan pemecatan Timbalanya, Dato' Seri Anwar Ibrahim mampu mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat menuntut perubahan.
Kali ini, senarionya berbeza, dengan tragedi 'rampasan kuasa' di Perak yang mana skripnya ditulis oleh bakal PM, Dato' Seri Najib Tun Razak.
Najib memang menjangkakan protes namun beliau seakan sudah pasti tidak menjangkakan 'suhu protes' sebegini hebat hingga menjadikan beliau sebagai sasaran kemarahan rakyat.
Apa yang dilihat pelbagai penganalisis politik seperti Dr Hassan Hasbullah, BN tidak banyak belajar, cara mereka berdepan dengan kebangkitan rakyat juga masih sama.
Kehendak rakyat agar satu pilihan raya kecil negeri sama sekali tidak dilayan, sementara gelombang penentangan semakin memuncak.
Peristiwa 1998 tidak menjadi iktibar kepada mereka yang terus hebat menyerang Anwar dan tahun 2009 ini mereka terus menerus menyerang Nizar dengan tuduhan menderhaka kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Paling ketara media arus perdana dan keseluruhan instrumen kerajaan khususnya polis dipergunakan sepenuhnya untuk mempropagandakan perihal derhaka.
Berang dengan ledakan kesedaran rakyat, kerajaan mula mengharamkan secara total semua ceramah di Perak selain rampasam akhbar alternatif seperti Harakah dan Suara Keadilan.
Kebebasan akhbar disekat sepertimana tahun 1998 dizaman Mahathir digelar sebagai pemerintah 'kuku besi', tidak mustahil permit akhbar akan disekat atau ISA akan digunakan untuk menyekat kemaraan ini.
Perihalnya serupa, untuk menghalang rakyat daripada menerima maklumat yang lebih luas dengan jaringan akhbar yang sudah kerap penerbitannya.
Bayangkan dalam keadaan ekonomi gawat, jentera kerajaan dipergunakan untuk merampas akhbar yang memiliki permit yang diberikan pihak berkuasa.
Akhirnya rampasan ini boleh mengakibatkan beberapa syarikat pengeluar akhbar terbabit rugi besar.Inilah sumbangan kerajaan Umno/BN dalam membantu rakyat yang sempit tatkala kegawatan ekonomi. Najib mungkin berbangga dengan kejayaan merampas Perak, namun beliau pastinya tahu natijah dari perbuatan rakusnya itu yang membuatkan rakyat semakin membenci beliau.
Kini terpulang kepada rakyat untuk membalas semua tindak tanduk Najib yang boleh diklasifikasikan mengulangi kepimpinan diktator Dr Mahathir pada tahun 1998.
Pilihan raya di Parlimen Bukit Gantang dan Dun Bukit Selambau adalah 'padang' yang jika luas dan ukurannya samarata, pastinya rakyat akan membalas keangkuhan dan kerakusan Najib.
Bak kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, rakyat kini semakin bijak menilai, Umno pula sudah mula menjadi parti yang bakal reput kerana masalah dalaman mereka.
Justeru, seperti kata Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar bahawa di tangan rakyatlah kini terletaknya 'kuasa' sekiranya mahu 'menamatkan riwayat' Umno/BN./wann. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan