Sabtu, 21 Februari 2009

Rampas Harakah bukti Umno-BN terdesak

LanH


Kemelut politik negara semakin panas, dan dalam menangani kebangkitan rakyat, pemerintah Umno-BN menggunakan kaedah primitif (hukum rimba), antara lain menyekat rakyat daripada mendapat maklumat alternatif.

Kita dukacita dengan perkembangan mutakhir apabila pihak Kementerian Dalam Negeri mengerahkan pegawainya merampas akhbar alternatif seperti Harakah dan Suara Keadilan. Selain itu mereka menakut-nakutkan pengedar dengan matlamat menjarakkan rakyat daripada bahan bacaan alternatif.

Tindakan itu bukan perkara baru. Sejarah menunjukkan bahawa apabila parti pemerintah menghadapi masalah, sasaran dihalakan kepada akhbar-akhbar berkenaan. Dulu selepas pilihan raya umum 1999 yang menyaksikan sokongan kepada Umno merosot teruk, ugutan dan rampasan dilakukan; diikuti dengan langkah mengehadkan penerbitan Harakah daripada dua kali seminggu kepada sekali setiap 15 hari.

Kini apabila Umno-BN menghadapi krisis keyakinan rakyat paling buruk sepanjang sejarah, membabitkan kekalahan berturut-turutnya dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Kuala Terengganu dan tindakannya merampas kuasa rakyat di Perak; ia kembali melaksanakan taktik lama - merampas akhbar Harakah dan alternatif lain.

Kita percaya tindakan mutakhir ini ada kaitan dengan kegagalan Umno-BN menangani isu kebangkitan rakyat terutama di Perak. Rakyat cuba digelapkan daripada mendapat maklumat tepat daripada media alternatif sebaliknya disogokkan laporan stereotaip, berat sebelah dan memualkan media massa arus perdana. Berdasarkan perkembangan semasa, kita difahamkan betapa meluatnya rakyat terhadap akhbar dan laporan berita media elektronik yang gagal menjadi suara hati rakyat.

Sepanjang sejarah kewujudan akhbar di negara ini, ia selaras dengan aspirasi rakyat. Jika sebelum merdeka, akhbar-akhbar Melayu menjadi medan menyemarakkan semangat kebangkitan menuntut kemerdekaan dan kemudian selepas merdeka, mengisi kemerdekaan itu; apa pula yang dapat dikatakan mengenai media massa arus perdana hari ini?

Isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) adalah bukti kuat betapa media arus perdana terutama yang berbahasa Melayu gagal menyelami dan merealisasikan aspirasi rakyat.

Sejak daripada penyataan hasrat Perdana Menteri, Dato' Seri (kini Tun) Dr Mahathir Mohamad melaksanakan program pembelajaran dalam bahasa Inggeris di sekolah-sekolah, akhbar arus perdana berbahasa Melayu menjunjung tinggi usaha itu. Mereka tidak berkutik untuk membantah, malah memberi ruang seluas-luasnya kepada pandangan menyokong langkah Mahathir itu.

Malah ada cendekiawan mendakwa pandangan mereka digelapkan; akhbar-akhbar berbahasa Melayu tidak berminat menyiarkan pandangan mereka. Apabila PPSMI dimulakan di sekolah pada 2003, akhbar-akhbar ini yang dulunya menjadi suara hati rakyat, mengetepikan sama sekali rintihan rakyat, sebaliknya menjadi suara hati pemimpin dan golongan berkuasa dan berkepentingan.

Akhbar Melayu gagal menjadi pejuang bahasa Melayu sebaliknya memenuhi tembolok sesetengah pihak termasuk sang penguasa. Masa terus berlalu, bahasa Melayu semakin lama semakin layu di negara yang dulunya bernama Tanah Melayu. Anak-anak Melayu, terutama di pedalaman semakin ketinggalan; apa tidaknya mereka dipaksa mengira dan bereksperimen dalam bahasa yang begitu asing.

Ditakdirkan enam tahun kemudian, kebangkitan rakyat menyaksikan enam negeri (termasuk Wilayah Persekutuan) jatuh ke tangan Pakatan Rakyat; sekali gus menarik keyakinan orang ramai termasuk cendekiawan yang membantah PPSMI.

Maka berbondong-bondonglah mereka yang dulunya tidak diberi tempat oleh akhbar arus perdana, mencurahkan pandangan di akhbar-akhbar alternatif. Tokoh-tokoh seperti Dato' Dr Hassan Ahmad dan Dato' A Samad Said sudah menghiasai akhbar alternatif bagi memperjuangkan nasib anak bangsa. Apabila 'kehebatan' ini beralih kepada akhbar alternatif seperti Harakah, tidakkah ia menimbul rasa cemas di pihak sang penguasa lantas bertindak mencantasnya! _

Tiada ulasan: