Ahad, 28 Jun 2020

PKR tak mungkin sokong Shafie jadi calon PM, kata penganalisis

Shafie Apdal tidak menyokong Anwar Ibrahim menjadi calon PM.

PETALING JAYA: Dua penganalisis politik berkata, rancangan menamakan Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri pembangkang memerlukan sokongan PKR, tetapi ia tidak mungkin berlaku.

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata, PKR bertegas mahu Presidennya, Anwar Ibrahim menjadi calon PM dan idea itu tidak disokong Warisan.

“Ini boleh menjadi strategi perang saraf untuk beralih daripada isu sebenar yang dihadapi Warisan dan Pakatan Harapan. Ia juga boleh menjadi sebahagian daripada strategi untuk mencegah pembelotan beramai-ramai dari Warisan ke Perikatan Nasional,” katanya kepada FMT.

Katanya, PKR akan mempersoalkan kenapa Shafie dicadangkan sebagai calon PM berbanding gandingan Anwar dan Shafie sebagai PM serta timbalan perdana menteri.

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berpendapat Shafie jelas ialah pilihan Dr Mahathir Mohamad dan proksi bekas perdana menteri berusia 94 tahun itu.

“Berbanding Anwar, Shafie tidak mempunyai pengaruh politik untuk mendapatkan majoriti bagi menjatuhkan kerajaan PN.”

Katanya, cubaan baru-baru ini untuk menjejaskan kestabilan kerajaan Sabah pimpinan Warisan, termasuk pembelotan 2 Adun, menunjukkan jumlah sokongan terhad yang diperolehi Shafie di “kubunya” sendiri.

Beliau berkata, Shafie berdepan risiko dicabar bekas ketua menteri, Musa Aman yang dibebaskan daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang serta masih berpengaruh di negeri itu.

“Tanpa sokongan PKR, mustahil PH boleh kembali menguasai Putrajaya.”

Katanya, memilih Shafie sebagai calon PM ialah “strategi sangat lemah, kelihatan terdesak dan tidak dipertimbangkan dengan baik”.

Saintis politik, Wong Chin Huat berkata, Sarawak ialah kunci merampas kembali Putrajaya.

Katanya, jika GPS tidak menyertai usaha menentang PN, sesiapa saja yang menjadi calon PM disokong PH hanya mendapat gelaran kosong.

“Persoalan sebenar ialah PH Plus boleh berikan apa kepada GPS yang PN tidak boleh tandingi?” soal Wong yang mengetuai kumpulan reformis Engage.

Walaupun GPS memihak kepada mereka, pembangkang masih perlu mendapatkan sokongan sejumlah ahli Parlimen dari Umno dan PPBM untuk mengelakkan sebarang bantahan “atas nama orang Melayu dan Islam” untuk mengadakan pilihan raya mengejut.

Bagaimanapun, Wong tidak nampak pembelotan akan berlaku kerana pembangkang kelihatan lemah dan tidak stabil.

Beliau mempersoalkan atas dasar apa Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin akan tunduk kepada tuntutan pembangkang untuk membubarkan Parlimen.

“Daripada pendirian Umno dan PAS, pilihan raya mengejut ialah hasil terbaik. Mereka boleh menang 90 hingga 100 kerusi dengan atau tanpa PPBM.”

Katanya, cubaan PH menggulingkan PN mungkin hanya mengukuhkan kedudukan Umno dan PAS selama 5 tahun.

Beliau mengimbau langkah Anwar selepas pilihan raya umum 2008 untuk merancang pembelotan daripada Barisan Nasional. Daripada menjatuhkan Perdana Menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi, langkah itu menyaksikan pesaing lebih kuat Najib Razak menjadi PM.

“Kenapa Amanah dan DAP perlu sokong langkah sedemikian? Saya bingung,” kata Wong.

Tiada ulasan: