Rabu, 7 Jun 2017

Sivarasa memohon ampun kepada Sultan

Berita Daily Staff

Menerusi surat yang diserahkan kepada baginda Sultan pada Isnin lalu Ahli Parlimen itu turut memberi penjelasan berkenaan kehadirannya di sebuah masjid yang menimbulkan kontroversi

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah mengaku telah mengingkari titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini kerana memasuki masjid.

Menerusi kenyataannya, beliau telah menyerahkan surat permohonan maaf kepada baginda Sultan pada Isnin yang lalu.

“Pada Isnin 5hb Jun 2017, saya telah menyerahkan sepucuk surat peribadi kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor bagi memperjelaskan apa yang sebenarnya berlaku sewaktu majlis pemberian sumbangan di Masjid An-Nur, Kampung Melayu Subang pada Rabu, 24 Mei 2017.

“Adalah jelas saya telah mengingkari arahan ini dengan ucapan ringkas saya di dalam Masjid An-Nur di Kg Melayu Subang. Justeru, di dalam surat saya itu, saya telah memohon maaf kepada Tuanku di atas kesilapan saya ini,” katanya.

Katanya lagi, surat itu juga adalah penjelasannya bahawa kehadirannya di Masjid An-Nur baru-baru ini bukanlah menyampaikan ceramah politik.

“Dalam surat itu, saya telah menjelaskan kepada Tuanku ucapan ringkas saya bukan satu ceramah atau ucapan politik.

“Walau bagaimanapun, saya telah meneliti titah Tuanku yang diberi pada Jumaat, 2 Jun 2017 di Masjid An-Nur Temasya Glenmarie di mana Tuanku telah menjelaskan arahan dan peringatan
baginda bahawa mana-mana ahli politik baik beragama Islam mahupun bukan Islam tidak boleh memberi apa-apa ceramah atau ucapan di dalam masjid atau di kawasan masjid,” ujarnya.

Pada 30 Mei yang lalu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mendakwa baginda Sultan murka dengan kehadiran Sivarasa.

Kemudian sekali lagi Sultan secara langsung melalui titah ucapannya empat hari yang lalu menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Subang itu sebagai melampau batas.

“Namun teguran beta nampaknya tidak diendahkan dan beta ingin menegaskan – Ahli Parlimen Subang Sivarasa, ‘You have cross the line!’.

“Jikalau ahli Parlimen Subang hendak berucap lapan jam atau sepuluh jam di luar kawasan masjid, beta tidak menghalangnya,” menurut baginda Sultan.

Tiada ulasan: