Rabu, 21 Jun 2017

PRU14: Tuan Ibrahim serah keputusan bertanding kerusi kepada kepimpinan

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic


SHAH ALAM: Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyerahkan kepada kepimpinan parti untuk menentukan kawasan mana yang akan ditandinginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Tuan Ibrahim berkata buat masa ini beliau tidak mengetahui sama ada dicalonkan untuk bertanding atau sebaliknya di mana-mana kawasan mewakili PAS.

"Dari segi parti kita sebenarnya tak bincang pun lagi tentang kerusi pimpinan.

"Di peringkat pusat pun kita belum terima cadangan daripada negeri-negeri," katanya kepada Antarapos.

Justeru beliau menyerahkan keputusan memilih calon serta kawasan yang akan ditandingi kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti berteraskan Islam itu.

"Parti akan putuskan nanti, insya-Allah," katanya.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka itu juga enggan mengulas sama ada akan bertanding di peringkat Parlimen atau kekal di peringkat negeri.

"Jadi dari segi itu kita masih menunggu cadangan daripada pihak negeri dan bagi pihak pusat kita belum bincang," katanya.

Untuk rekod Tuan Ibrahim pernah dipilih sebagai wakil rakyat selama sepenggal pada 1999 selepas memenangi kerusi DUN Jengka.

Bagaimanapun beliau gagal mempertahankan kerusi DUN tersebut dalam pilihan raya umum 2004 diikuti kegagalan pada pilihan raya umum 2008 namun berjaya merapatkan jurang majoriti kepada hanya 596 undi.

Kerusi DUN menjadi pilihan untuk bertanding

Ditanya mengenai desas-desus yang mengatakan beliau berkemungkinan akan bertanding di kerusi Parlimen Temerloh, Tuan Ibrahim berkata ia sekadar khabar angin.

'Itu khabar angin sahaja, saya sebenarnya pun turun ke Temerloh selalu memang tradisi sejak dulu lagi sebab Temerloh tempat mula tinggal, jadi memang ada kuliah selalu di Temerloh," katanya.

Ditanya di peringkat mana yang menjadi pilihan untuk bertanding pada PRU14 nanti, Tuan Ibrahim berkata secara peribadi beliau lebih selesa sekiranya bertanding di peringkat negeri sahaja.

"Secara peribadi saya lebih suka di peringkat DUN cuma biasanya partj akan buat keputusan untuk pimpinan tertinggi parti .

"Parti akan buat keputusan tapi secara peribadi saya lebih selesa di peringkat DUN," katanya.

Beliau menambah keputusan akhir terserah kepada pucuk kepimpinan yang memuktamadkannya.

"Saya serah kepada partilah untuk tentukan," katanya.


Tiada ulasan: