Ahad, 11 Jun 2017

PAS Sokong Cadangan Gubal Akta PDEA, Kekang Politik Wang

MALAYSIAN DIGEST

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.


SHAH ALAM -- PAS hari ini menyatakan sokongannya terhadap cadangan penggubalan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik (PDEA) kerana ia dilihat mampu mengekang kegiatan politik wang dalam kalangan parti-parti politik di negara ini.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata cadangan itu, yang dikemukakan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) pada tahun lepas, amat diperlukan kerana Malaysia tidak mempunyai undang-undang khusus yang memantau dana parti-parti politik.
Bagi menyokong penggubalan akta itu, beliau berkata PAS bersama-sama sekutu dalam blok pakatan yang dinamakan Gagasan Sejahtera telah menghantar dokumen yang merangkumi pandangan parti Islam itu terhadap PDEA termasuk cadangan pelan tindakan kepada JKNMPP pada April lepas.

"PAS mahu akta ini diwujudkan dan kita harapkan JKNMPP yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan akan membawa cadangan penggubalan akta itu ke Parlimen.
"Akta itu kelak dapat membendung pihak-pihak tertentu daripada terus mengamalkan politik wang yang akhirnya akan merosakkan parti-parti politik di negara ini," katanya kepada pemberita selepas menutup program Munaqasyah Rakyat peringkat kebangsaan di sini, hari ini.

Program itu, yang dianjurkan buat julung kalinya oleh PAS, dihadiri kira-kira 200 peserta terdiri daripada anggota gabungan Gagasan Sejahtera, badan bukan kerajaan, tokoh akademik dan aktivis masyarakat bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan terhadap ucapan dasar presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa Muktamar PAS ke-63 di Kedah pada Mei lepas.

Empat panelis iaitu Pengarah Penyelidikan PAS Pusat Dr Zuhdi Marzuki, Timbalan Presiden Ikatan Dr Samarudin Rejab, bekas Presiden Ilmuan Prof Dr Badlisham Mohd Nasir dan pengerusi Kongres Rakyat Mohd Azmi Abdul Hamid mengemudi sesi selama empat jam di Dewan Bankuet Majlis Bandaraya Shah Alam itu.

Pada Oktober 2016, JKNMPP membentangkan usul kepada Kabinet untuk menuntut ketelusan lebih tinggi daripada parti politik berhubung keperluan pelaporan dan pendedahan derma politik yang ketat, termasuk mencadangkan pengenalan PDEA.

Cadangan PDEA berfungsi sebagai platform untuk mewujudkan sistem berkesan bagi pembiayaan politik meliputi bidang pentadbiran derma politik, pembelanjaan dan pendedahan pembiayaan politik, pembiayaan negeri bagi aktiviti politik dan hubungan antara politik dengan peniagaan.

Akta berkenaan juga akan meningkatkan dan menambah baik undang-undang sedia ada termasuk Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009, Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Akta Pertubuhan, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Low sebelum ini dilapor sebagai berkata cadangan akta itu diharap dapat dibawa ke Parlimen untuk dibahas dan diluluskan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).-- BERNAMA


Tiada ulasan: