THE MALAYSIAN TIMES
KUALA LUMPUR: Malaysia memantau secara rapi
perkembangan geopolitik yang berlaku di seluruh dunia bagi membolehkan
sebarang langkah dan keputusan yang diambil menepati kepentingan negara,
kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau merujuk krisis di Negara-Negara Teluk, ancaman ujian peluru
berpandu balistik Korea Utara dan keputusan pilihan raya United Kingdom
hari ini, yang membawa kepada Parlimen Britain tergantung, sebagai
antara ketidaktentuan geopolitik yang menarik perhatian dunia.
“Selain ancaman keganasan dan ekstremisme yang merupakan cabaran
besar kepada kita…kita juga menyedari bahawa ada satu risiko baharu
lebih serius terpaksa kita tangani iaitu risiko geopolitik,” katanya
pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi
UMNO di Menara Dato’ Onn di sini semalam.
Awal minggu ini, dunia dikejutkan dengan keputusan Arab Saudi serta
beberapa negara termasuk Bahrain, Emiriah Arab Bersatu, Maldives dan
Mesir memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar berikutan dakwaan
negara berkenaan membiayai kumpulan militan Daesh.
Menyentuh perkembangan ekonomi, Najib berkata ketika ini ekonomi
dunia berkembang lebih positif dan Malaysia juga mencatat pencapaian
ekonomi yang amat memberangsangkan pada suku pertama tahun ini, iaitu
sebanyak 5.6 peratus, berbanding 4.1 peratus bagi tempoh sama tahun
lepas.
Sementara itu, mengenai Pilihan Raya Kecil kerusi Dewan Undangan
Negeri (DUN) Pujut, perdana menteri berkata beliau akan bertemu Ketua
Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dalam masa terdekat
untuk menentukan calon terbaik bagi Barisan Nasional (BN).
Dalam pada itu, Najib secara ringkas turut menarik perhatian bahawa
persiapan bagi Pilihan Raya Umum, sehingga kini berjalan dengan baik.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata pendaftaran keanggotaan UMNO kini semakin meningkat.
“Ia satu perkara menarik kebelakangan ini apabila ramai individu yang
mendaftar sebagai ahli UMNO secara sukarela di pejabat UMNO lebih
kurang 300 orang setiap hari. Ini satu perkembangan yang tidak kita
lihat sebelum ini,” katanya.
Terdahulu sebelum mempengerusikan mesyuarat tersebut, beliau turut
menyampaikan hadiah kepada 17 pemenang cabutan bertuah semasa sambutan
ulang tahun UMNO Ke-71 di Stadium Nasional Bukit Jalil, 11 Mei lepas.
Anggota UMNO Kuala Terengganu, Saifuldhari Abu Bakar membawa pulang
hadiah utama cabutan bertuah sebuah Proton Perdana 2.4L.–Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan