Khamis, 15 Jun 2017

Menanti Pendirian Malaysia Ke Atas Qatar

 
Oleh IZWAN ABDUL HALIM


Malaysia sepatutnya membuat satu pendirian terhadap krisis yang sedang berlaku ke atas Qatar khususnya menyeru penyelesaian secara diplomasi dan bukannya kekerasan, demikian diutarakan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

“Ni satu tindakan yang tidak betul bila sebuah negara berpakat dengan negara-negara lain, mengambil satu tindakan yang agak keras, menghambat rakyat dan kemudian menarik diplomat-diplomat yang ada di dalamnya. Kalau kita baca dari segi diplomasi, tindakan ini adalah satu tindakan nak berperang.

“Sepatutnya sesama kita Islam kita perlu mempunyai pendirian. Paling kurang kita mesti menyatakan sikap kita. Krisis yang berlaku ini mestilah diselesaikan dengan cara terperinci,” jelasnya pada sesi Teh Tarik For Malaysia di sini 10 Jun lalu.

Serunya juga, umat Islam seharusnya mengambil iktibar dari kejayaan protokol-protokol Zionis yang merancang dengan lebih awal untuk menjatuhkan Kerajaan Islam Uthmaniyyah dengan strategi ‘divide and rule’ yakni pecah perintah.

Di mana dari kejahilan umat ketika itu menyebabkan negara-negara umat Islam dipecahkan mengikut bangsa dan mazhab oleh penjajah kufar bermula peranan dimainkan ejen Empayar British, Lawrence of Arabia.

Menurut beliau, Syarif Hussein selaku wakil Kerajaan Islam Uthmaniyyah yang memerintah Hijaz Makkah dan Madinah telah diperalat bagi menjatuhkan Kerajaan Uthmaniyyah dengan berlakunya At-Thauratul Arabiyyatul Kubra atau Revolusi Arab Agong pada tahun 1916.

“Penjajah British berjanji kepada mereka untuk dilantik menjadi khalifah menggantikan orang Turki pada ketika itu. Tetapi penjajah tidak menunaikan janji, akhirnya jatuh Kerajaan Islam Uthmaniyyah, Palestin diambil oleh Empayar British kemudian diserah kepada orang Yahudi untuk memastikan pergolakan tidak berlaku di Timur Tengah pada ketika itu.

“Juga untuk menyedapkan hati pemimpin-pemimpin Arab pada ketika itu, maka dibahagi-bahagikan beberapa buah negara dan dilantik mereka ini untuk menjadi ketua-ketua negara. Di antaranya ialah negara Arab Saudi, Qatar, UAE, Iran, dipecahkan kepada bangsa dan dipecahkan kepada mazhab-mazhab.

“Memang kita tidak nafi, ini semua ialah perancangan-perancangan musuh-musuh Islam. Tapi kita orang Islam tak kiralah Saudi ke, Iran ke, Qatar ke, Turki ke, siapa sahaja, kita mestilah bijaksana di dalam menangani perancangan-perancangan musuh musuh Islam ini supaya kita tidak terjebak masuk dalam perangkap mereka,” ujarnya.

Tegas Ustaz Khalil, Arab Saudi yang merupakan negara besar di dunia Islam dan kaya tidak sepatutnya mengambil sikap yang begitu keras ke atas negara Qatar dan juga negara umat Islam, tetapi tiada pula kenyataan keras terhadap negara haram Israel.

Perkara itu katanya, sangat menyedih dan mendukacitakan di mana seolah-olah mereka buta untuk melihat musuh utama kepada umat Islam, sedangkan jelas musuh utama kepada umat Islam ialah negara haram Israel yang diketahui semua tindakan mereka ke atas rakyat dan umat Islam di Palestin.

Beliau juga mengajak umat tidak bimbang dengan kebangkitan Iran sebagai satu kuasa di rantau Timur Tengah termasuk mempunyai persenjataan yang hebat, tetapi tidak mungkin negara itu boleh memimpin dunia Islam kerana dunia Islam terdiri dari 90 peratus ialah Ahli Sunah Wal Jamaah, sedangkan Iran majoriti Syiah.

Iran ujarnya, mesti bekerjasama dengan negara-negara Islam lain dan tindakannya bersama Turki ke atas Qatar sebenarnya adalah sikap untuk menyanggahi pemulauan yang diambil Arab Saudi, UAE dan lain-lain ke atas Qatar.

Tiada ulasan: