Khamis, 15 Jun 2017

Kementerian Pengangkutan arah KTMB, bas ekspres tambah perkhidmatan

Kumara Sabapatty

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai melancarkan "Go Safe Campaign" pada majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu bersempena dengan perayaan Hari Raya Aidilfitri peringkat kebangsaan tahun 2017 di KL Sentral. foto SAFWAN MANSOR
 

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan mengarahkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan bas ekspres menambah perkhidmatan sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya sudah meminta KTMB menambah jumlah gerabak dan perkhidmatan tren sedia ada untuk musim perayaan ini.

“Kebanyakan perkhidmatan yang diperlukan sekarang ialah perkhidmatan tren antara bandar dan perjalanan ke utara hingga Padang Besar yang ketika ini 27 perjalanan diaktifkan untuk menampung jumlah penumpang,” katanya dalam sidang media di ibu negara.

Beliau menyatakan demikian selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu sempena hari Raya Aidilfitri 2017 di KL Sentral di sini hari ini.

Kempen tersebut bertujuan mendidik pengguna jalan raya memandu secara berhemah semasa pulang ke kampung.

Tambah beliau, ketika ini perkhidmatan keretapi agak terhad memandangkan kekurangan gerabak.

“KTMB mempunyai gerabak terhad dan kita tidak boleh menjangkakan penambahan (yang banyak).

“Manakala kementerian juga sedang berkerjasama dengan penguasaha bas ekpres untuk meningkatkan bilangan perkhidmatan untuk menampung keperluan penumpang sepanjang musim perayaan Aidilfitri kali ini.

“Kekurangan pemandu bas ekpres berikutan kaedah pemilihan pemandu agak ketat menyumbang kepada kekurangan bas ekspres yang juga perlu dipertimbangkan ketika ini,” ujarnya.

Selain itu, kali ini Ops Bersepadu dengan agensi penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan, Suruhanjatya Pengangkutan Awam Darat dan Bomba dan Penyelamat serta polis akan bertumpu kepada 67 tempat panas yang sering berlaku kemalangan.

“Tahun lepas 59 kawasan panas kemalangan dipantau, tahun ini ditambah sembilan lagi dan kita akan terus mendidik pemandu dengan kempen bersama badan bukan kerajaan untuk menjamin keselamatan pengguna jalan sepanjang musim perayaan ini,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: