Khamis, 8 Jun 2017

Isa Samad: Kenapa nak letak jawatan, bukan salah saya

 
Isa Samad juga yakin saham FGV dan keyakinan pelabur akan kembali pulih selepas siasatan berhubung kes itu selesai.
 
 
isa-samad-fgv 

KUALA LUMPUR: Tan Sri Isa Samad hari ini mempersoalkan tindakan sesetengah pihak mencadangkan beliau meletak jawatan sebagai pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), susulan kemelut yang melanda syarikat perladangan itu.

“Pasal apa nak letak jawatan, bukan saya yang salah,” katanya pada sidang media sempena Majlis Sumbangan Ramadan FGV kepada golongan asnaf di Menara Felda hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas, Datuk Dr Puad Zarkashi menyarankan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad yang sedang bercuti dan Isa meletak jawatan.
Katanya, Isa dan Zakaria perlu mengambil jalan lebih bermaruah dengan berundur dari FGV.

Kelmarin, Lembaga Pengarah FGV mengarahkan Zakaria bercuti serta-merta bagi membolehkan siasatan berhubung tunggakan bayaran sebuah syarikat Afghanistan bernama Safitex kepada anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd.

Selain Zakaria, Ketua Pegawai Kumpulan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha, Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd, Kamarzaman Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar turut diarahkan bercuti.

Dalam pada itu, Isa yakin saham FGV dan keyakinan pelabur akan kembali pulih selepas siasatan berhubung kes itu selesai.

“Bila tengok berjalan dengan baik, tengok proses siasatan kita ikut prosedur dan sebagainya menimbulkan keyakinan kepada pemain-pemain saham.

“Insya Allah lepas kes ini selesai, selesailah. Mana-mana syarikat pun kalau ada isu macam ini akan terjejas. Bukan sahaja FGV, tapi apa-apa syarikat pun. Tapi bila dah selesai, esok dia akan baik semula.”

Semalam, harga saham FGV merosot kepada RM1.56 dalam dagangan awal. Kaunter itu yang berada dalam senarai aktif kemudiannya meningkat 4 sen kepada RM1.66 dengan 62.30 juta saham bertukar tangan selepas tekanan jualan tinggi pada Selasa lalu.

Mengenai dakwaan Zakaria yang Lembaga Pengarah FGV membuat pelaburan tidak masuk akal, Isa menjawab: “Saya pun tak terfikir dia cakap macam tu. Dia pun cakap macam tak masuk akal.”

Ditanya jika beliau sedia menemui SPRM, Isa berkata: “Saya tak tahu, kalau dia nak berjumpa dengan saya, kita berjumpalah. Kalau dia tak nak berjumpa, tak adalah.”

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: