Ahad, 11 Jun 2017

FGV: Zakaria Arshad Sepatutnya Tidak Melenting, Beri Ruang Siasatan Dalaman





Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Datuk Zakaria Arshad sepatutnya tidak melenting dengan membuat pelbagai kenyataan dan memberi ruang kepada Datuk Seri Idris Jala yang dilantik pihak kerajaan sebagai penyiasat dalaman bebas untuk membantu menyelesaikan krisis tersebut.

Pelbagai kenyataan balas yang dibuat oleh Zakaria kepada media ketika jawatankuasa penyiasat bebas ditubuhkan akan menampakkan beliau berada di pihak yang bersalah.

Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta isu FGV diselesaikan dengan kadar segera dengan menggariskan tiga prinsip utama.

“Pertama, ia (siasatan) mesti mematuhi undang-undang syarikat. Kedua, ia mesti selaras dengan urus tadbir baik dan ketiga, proses siasatan mestilah melalui proses yang adil,” kata beliau ketika berucap pada majlis Ihya Rahmat Ramadan Felda Peringkat Kebangsaan di Felda Sungai Sayong.

Menurutnya, pelantikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Jala sebagai pihak bebas untuk menangani kemelut melanda FGV itu, adalah berpandukan tiga prinsip tadi.

Ini juga bagi memastikan fakta-fakta yang diperoleh adalah tepat dan akhinya kerajaan dapat membuat keputusan berhubung kemelut FGV.

Buat masa ini, Najib berkata, beliau masih berunding dengan Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad bagi menentukan masa depan FGV.

Selasa lalu, Lembaga Pengarah FGV mengarahkan empat pegawai kanan syarikat perladangan itu termasuk Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zakaria bercuti berkuat kuasa serta merta.

Arahan bercuti itu dilaporkan sebagai memberi laluan audit dalaman dijalankan bagi menyiasat tunggakan bayaran syarikat Safitex kepada Delima Oil Products Sdn Bhd, anak syarikat FGV.

Selain Zakaria, tiga lagi yang diarah bercuti adalah Ketua Pegawai Kewangan, Ahmad Tifli Mohd Talha; Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar.

Tiada ulasan: