KOTA BHARU
– Seorang guru silat yang terlibat dengan kumpulan militan Daesh
dihukum penjara lima tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari
ini kerana memiliki sebutir bom tangan asap serta dua butir peluru.
Hakim Nazri Ismail mengenakan hukuman itu selepas Mohammad Sabri Mat Zain, 46, mengaku bersalah atas dua pertuduhan.
Mengikut
pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki sebutir bom tangan asap
warna kuning di rumahnya di Teluk Kandis Salor, antara jam 7.55 pagi dan
1.20 tengah hari, pada 21 Mac lalu.
Dia
didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971
yang boleh membawa hukuman penjara 14 tahun dan sebatan tidak kurang
daripada enam kali.
Manakala
tuduhan kedua dia didakwa memiliki dua butir peluru jenis .38 Special
G.F.L dan R.P tanpa lesen atau permit senjata di tempat dan masa yang
sama.
Bagi
tuduhan itu, Mohammad Sabri didakwa mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata
Api 1960, yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda
RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah
memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara lima tahun dan enam
sebatan bagi tuduhan pertama manakala bagi pertuduhan kedua, dia
dikenakan hukuman penjara dua tahun.
Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak berkuatkuasa tarikh tertuduh ditangkap pada 21 Mac lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan