Khamis, 9 Julai 2015

Peguam Negara perlu bertanggungjawab

Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi


PETALING JAYA - Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail digesa bertanggungjawab terhadap pembocoran maklumat sulit oleh Wall Street Journal (WSJ) sehingga mengakibatkan spekulasi negatif terhadap imej Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Abdul Gani juga digesa menafikan penglibatannya terhadap kebocoran maklumat tersebut.

Menurutnya, siasatan dalaman perlu dilakukan untuk mengesan dalang yang telah membocorkan maklumat dan dokumen sulit kepada media asing tersebut.

"Pihak berkuasa juga perlu menyiasat sama ada wujud konspirasi terancang untuk menggulingkan Najib," katanya.

Beliau berkata, adalah memelikkan apabila WSJ boleh menerbitkan sebuah artikel berkaitan dokumen Pasukan Penyiasatan Khas kurang daripada 24 jam selepas serbuan dibuat.

"WSJ sekali lagi menerbitkan dokumen berkaitan selepas kenyataan mengenai enam akaun yang dibekukan dibuat," katanya.

Mohd Puad berkata, WSJ menyatakan terdapat dua jenis dokumen yang telah diterima mereka daripada Pasukan Penyiasat Khas Kerajaan di Malaysia.

"Yang pertama adalah ‘remittance document’ dan yang kedua adalah dokumen pasukan penyiasatan tersebut," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, ‘remittance document’ hanya menyebut nombor akaun AmIslamic Bank yang tidak mempunyai nama sesiapa pun.

"Tidak lama selepas kenyataan mengenai enam akaun yang dibekukan dibuat, WSJ sekali lagi telah menerbitkan dokumen-dokumen berkaitan," katanya.

Beliau berkata, jika benar ada di kalangan anggota kepada Pasukan Penyiasatan Khas pimpinan Peguam Negara membocorkan maklumat kepada WSJ, maka dokumen tersebut adalah dokumen yang masih belum diputuskan kesahihannya.

" Pembocoran maklumat ini juga boleh menjejaskan keseluruhan penyiasatan kerana terdapat individu yang tidak lagi bersifat ‘impartial’," katanya.

Mohd Puad berkata, Ghani perlu menyiasat segera kebocoran maklumat siasatan yang belum lengkap oleh Pasukan Penyiasat Khas yang ditubuhkan.

"Tindakan tegas perlu diambil terhadap dalangnya," katanya.

Kelmarin, WSJ di laman webnya memuatnaik beberapa dokumen perincian hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) yang didakwa disalurkan ke akaun peribadi Najib.

Ia termasuklah slaid yang mendakwa wang tersebut dipindahkan ke akaun AmIslamic Bank Bhd dipercayai milik Najib yang disokong oleh rekod transaksi bank.

Dokumen itu didakwa diperoleh daripada penyiasat Kerajaan Malaysia.


Tiada ulasan: