Khamis, 9 Julai 2015

Enam cadangan untuk Kabinet menyelamatkan Malaysia

kitsiangforwbe

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Kabinet perlu meminta Datuk Seri Najib Razak mendedahkan kepada umum, sama ada benar atau tidak, sejumlah wang RM2.6 bilion (USD700 juta) telah dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya.

Perdana Menteri juga perlu menjelaskan sama ada beliau mempunyai akaun-akaun peribadi atas namanya sendiri di Ambank, dan jika ada, mendedahkan identiti akaun-akaun tersebut.

Gesaan itu dibuat oleh Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, kepada Kabinet dengan menggariskan enam cadangan untuk membuktikan mereka adalah patriot yang mahu menyelamatkan negara.

Katanya, Najib juga perlu menjelaskan peranan beliau dalam skandal 1MDB kerana ia memang tugas dan tanggungjawabnya sebagai orang yang mempunyai kuasa meluluskan urusniaga 1MDB, bukan saja sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, tetapi juga atas bidang kuasa di bawah Artikel 117 Memorandum Pertubuhan (M&A) 1MDB.

Sebagai cadangan kedua, beliau meminta Najib menjelaskan sama ada Perdana Menteri sedar atau tidak bahawa laporan media Wall Street Journal yang bertajuk “Investigators Believe Money Flowed to Malaysian Leaders’ Accounts Amid 1MDB Probe” adalah berdasarkan kepada siasatan kerajaan Malaysia terhadap 1MDB oleh Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis dan Peguam Negara.

Sehubungan itu, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, mahu Najib menyatakan bila waktunya siasatan kerajaan itu menemui hampir RM2.6 bilion dari dana 1MDB yang dikatakan telah dimasukkan ke dalam akaun peribadinya, telah dilaporkan kepada Perdana Menteri, dan apa tindakan yang telah beliau ambil.

Ketiga, pemimpin veteran DAP itu meminta Kabinet mendedahkan kepada umum laporan awal Ketua Audit Negara terhadap 1MDB yang akan dibawa kepada Jawatankuasa Kira-Kira Awam Parlimen esok.

Keempat, beliau mahu Kabinet meluluskan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dengan kuasa yang luas untuk menyiasat segala aspek 1MDB, dan membuktikan bahawa kerajaan dan Perdana Menteri tidak ada apa-apa untuk disembunyikan daripada rakyat.

Katanya, pengkritik tegas amalan niaga 1MDB boleh dilantik sebagai Pesuruhjaya, antaranya Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi dan Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara Tony Pua dan Ahli Parlimen PKR Pandan Rafizi Ramli sebagai ahli suruhanjaya.

Kelima, Kit Siang mahu Kabinet meminta Najib bercuti sebagai Perdana Menteri selama tiga bulan untuk memberi masa kepada RCI untuk menyiasat, membentang dan mengumumkan hasil siasatan kepada rakyat.

“Jika Kabinet gagal melaksanakan kelima-lima cadangan ini, maka para menteri yang terhormat dan patriotik hanya ada satu pilihan saja lagi, iaitu meletak jawatan beramai-ramai,” ujar beliau.

Menurutnya, ini adalah caranya untuk Kabinet mengelakkan diri daripada dikaitkan dengan salah urus dana awam yang tidak bertanggungjawab, tidak telus dan tidak akauntabel.

Tambah beliau, ia juga penting bagi Kabinet untuk meletak jawatan kerana ia akan menjadi teladan tahap keyakinan, integriti dan pentadbiran baik yang tinggi kepada pemegang jawatan awam pada masa ini dan masa depan. – Roketkini.com


Tiada ulasan: