Khamis, 9 Julai 2015

DAP terlalu beria-ia berjoget atas kubur Pakatan



Oleh Hazlan Zakaria


Bagi sebuah parti yang pernah bersenandung lagu cinta terhadap Pakatan Rakyat seperti Romeo dengan gitar di luar anjung Juliet, DAP kini ironinya beria-ia mahu berjoget di atas kubur pakatan pembangkang persekutuan itu, yang kini tidak berfungsi lagi.

Namun saya merasakan dalam kes DAP, gitar yang mereka gunakan adalah serupa dengan gitar yang digunakan oleh el Mariachi, watak pembunuh upahan Antonio Banderas dalam filem Desperado. Satu peralatan yang lebih membawa maut dan bukannya mewujudkan rasa cinta populis.

Ini ditekankan sekali lagi hari ini dengan pengisytiharan oleh kerajaan Pulau Pinang yang dikuasai oleh parti demokrasi sosialis itu, bahawa ia tidak seharusnya lagi dirujuk sebagai kerajaan negeri Pakatan.

"... ia kini dikenali sebagai kerajaan negeri Pulau Pinang, dan bukan lagi kerajaan negeri PR Pulau Pinang," setiausaha agung DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dilaporkan menjelaskan dalam satu kenyataan.

Itulah kata KM kerajaan negeri yang pernah dikenali sebagai kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu, seolah-olah kerajaan negeri itu adalah bintang pop tahun 80-an, yang kini dirujuk sebagai "the artist once known as Prince" (artis yang dahulunya dikenali sebagai Prince), kerana namanya kini ialah sebuah simbol yang tidak boleh disebut. 

Sudah pasti bagi ramai penyokong tegar pembangkang, keadaan parti-parti pembangkang pada masa kini mungkin juga merupakan sesuatu yang hanya boleh digambarkan dengan kata-kata yang tidak boleh dituturkan di khalayak ramai dan ulasan-ulasan politik.

Adalah lebih selamat dengan itu, dan lebih-lebih lagi sesuai dalam bulan Ramadan, untuk merujuk kepada gabungan yang tidak lagi berfungsi itu sebagai "pakatan pembangkang yang dahulunya dikenali sebagai Pakatan," daripada menyatakan apa yang benar-benar difikirkan ramai pihak, apabila berita mengenai pakatan itu timbul.

Tetapi dalam apa-apa hal sekalipun, DAP terlalu terburu-buru dalam mengisytiharkan kematian Pakatan secara unilateral, bertindak tanpa berunding terlebih dahulu dengan ahli-ahli pakatan, sama ada mereka dipulaukan atau tidak. Pada dasarnya bertindak sama seperti apa yang mereka tuduh presiden PAS, Hadi Awang telah lakukan secara sombong.

Disebabkan DAP gemar memberitahu BN mengenai keadilan dan banyak perkara lain, ia bukan sahaja perlu bersikap demikian, tetapi juga dilihat bersikap demikian. Ini mesti dilakukan dalam hal konsensus dan niat baik di kalangan ahli-ahli gabungan itu.

Mereka mungkin mengatakan macam-macam perkara mengenai PAS, tetapi mungkin perlu cermin diri mereka sendiri.

Ini adalah kerana DAP dengan mudahnya tidak mempertimbangkan bahawa resolusi muktamar PAS untuk memutuskan hubungan antara kedua-dua parti itu, secara khususnya bergantung pada keputusan oleh jawatankuasa kerja pusat dan majlis Syura parti Islam itu.

Mungkin ia sudah hampir pasti disebabkan kawalan kem ulama. Tetapi melainkan jika dan sehingga ini berlaku, ianya masih belum pasti.

Tetapi reaksi terburu-buru DAP terhadap perkara ini hanya menekankan bahawa mereka sendiri sebenarnya tidak sabar-sabar untuk bukan hanya keluar dari pakatan itu, tetapi juga seolah-olah mahu berjoget di atas kubur pakatan itu.


  
PKR perlu menjadi doktor yang berusaha keras untuk menyembuhkan Pakatan, walaupun tanpa bintang pakar bedah dan ketua umum mereka yang kini dipenjarakan Anwar Ibrahim, ini adalah satu rawatan yang tidak diberi harapan oleh sesiapa.

Sudah pasti penganut Kristian di kalangan kita harus mula meminta berkat dari St Jude, santo penaung harapan dan perjuangan mustahil.

Malahan, lebih daripada sekadar pengumuman di Pulau Pinang itu, DAP sedang menyebabkan kebimbangan di Selangor sewaktu laporan-laporan timbul mengenai sikap berkerasnya yang mahukan sijil kematian Pakatan Selangor supaya dikeluarkan, sebagaimana ia telah dikeluarkan bagi Pakatan Pulau Pinang.

Laporan-laporan menyatakan bahawa parti demokratik sosialis itu enggan mengesahkan sokongan tidak berbelah bagi terhadap kerajaan Selangor semasa yang diketuai oleh PKR, melainkan jika tuntutan mereka dipenuhi. Ada yang menganggapnya sebagai DAP meminta PKR untuk memilih antara ianya dan parti Islam itu.

Oleh itu telatah DAP seolah-olah menunjukkan bahawa ia sedang berjoget di atas kubur Pakatan yang telah ia sendiri gali dan sediakan, walaupun sudah pasti Hadi dan puak ulama yang kini mengawal PAS, yang mungkin telah telah menjejaskan Pakatan dengan teruk.

Jika kita menggunakan analogi permainan video Mortal Kombat, mungkin PAS yang telah membelasah Pakatan setengah mati di gelanggang, tetapi DAP-lah yang melakukan pukulan akhir "Fatality".

Jadi pada akhirnya, walaupun ia mungkin mempunyai sebab-sebab yang baik untuk memutuskan hubungan dengan Pakatan setelah mendapat banyak manfaat daripada kerjasama sementara itu, DAP tidak sepatutnya bersikap terlalu beria-ia untuk memutuskan sokongan hidup Pakatan, dan menari di atas kuburnya yang masih kosong.

Hazlan Zakaria merupakan ahli pasukan Semut Harian yang gemar membaca, menulis dan memerhatikan kenanehan dunia tampak hari ini.


Tiada ulasan: