Selasa, 17 Februari 2015

SKMM, polis kerjasama buru 'Isis Malaysia'

SINAR HARIAN

SKMM
 
 
CYBERJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan pemilik akaun YouTube 'Isis Malaysia 69', kata Pengerusi SKMM Datuk Seri Dr Halim Shafie.
 
"Apa bantuan yang diperlukan kami akan berikan. Kerjasama sudah bermula dan kami sudah pun berhubung dengan PDRM," katanya kepada pemberita semasa diminta mengulas mengenai penerbitan video itu.
 
Halim ditemui selepas menyaksikan majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara SKMM dan Malaysian-American Commission on Educational Exchange (MACEE) di SKMM di sini hari ini.
   
Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis sedang mengesan pemilik akaun YouTube 'Isis Malaysia 69' bagi membantu siasatan berkaitan video cubaan menghasut orang ramai mengadakan bantahan terhadap sistem keadilan di mahkamah negara ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Video 'Isis Malaysia' dikongsi ke Twitter KPN]
 
Dalam video berdurasi kira-kira seminit itu, empat individu berpakaian serba hitam dan menutup bahagian muka, memberi amaran akan mengadakan bantahan terhadap sistem keadilan mahkamah dengan membakar mercun pada 18 Februari pada pukul 11.30 malam.
  
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan iaitu cubaan melakukan sesuatu aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen.
 
Mengenai saranan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kepada syarikat telekomunikasi supaya menawarkan pakej jalur lebar pada harga yang lebih rendah, beliau berkata SKMM akan berbincang dengan pihak industri bagi mendapatkan pandangan. - Bernama

Tiada ulasan: