Mahfuz Omar
 
 
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu membuat gesaan agar kes model Mongolia, Altantuya Shaariibuu disiasat dan dibicarakan semula bagi mengelakkan penindasan pihak yang menjadi 'kambing hitam'.
 
Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar menegaskan Najib perlu segera mengarahkan pihak polis menyiasat dakwaan bekas komando polis, Sirul Azhar Omar bahawa dia bertindak mengikut arahan ketika membunuh penterjemah itu.
 
"Saya menegaskan kembali agar PM dapat membuat gesaan agar kes ini disiasat dan dibicarakan kembali demi menegakkan keadilan dan mengelakkan penindasan kepada pihak yang di bawah.
 
"Usahlah PM resah gelisah kerana bak kata pepatah 'orang yang makan cili sahaja yang terasa pedasnya', katanya pada sidang media di Pejabat Agung Pas, di sini, hari ini.
 
Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Sirul, yang kini ditahan di Australia mendakwa beliau menerima arahan untuk membunuh Altantuya sedangkan pembunuh 'sebenar' masih bebas.
 
Kecurigaan semakin terserlah apabila dakwaan Sirul itu disifatkan perdana menteri sebagai kenyataan mengarut sekaligus menimbulkan banyak persoalan.
 
Mengulas lanjut, Mahfuz melahirkan perasaan hairan dengan reaksi perdana menteri itu sedangkan Sirul tidak menyebut atau mengaitkan Najib dengan dakwaan itu.
 
"Perdana Menteri wajar menyatakan kepentingan untuk menyiasat dan membicarakan kembali kes ini.
 
"Kita tidak boleh menafikan kebarangkalian Sirul sudah berani membuat pendedahan itu kerana dia berada di luar cengkaman dan tekanan yang diberikan oleh pihak berkuasa di Malaysia," ujarnya.
 
Tambah Mahfuz lagi, pihak polis wajar menyiasat dakwaan Sirul itu sebelum terus menafikan kesahihan dakwaan beliau itu.
 
"Polis kena mempertahankan imej ketelusan dan keberanian untuk bertindak tanpa memilih bulu.
 
"Pihak PDRM boleh sahaja menghantar pegawai penyiasat ke Australia tanpa menunggu Sirul dibawa pulang ke Malaysia untuk menjalankan siasatan semula terhadap kes ini," katanya lagi.