Jumaat, 20 Februari 2015

Janji Najib untuk melantik Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri, benar ke bohong?

Sekarang isu Anwar pernah di tawarkan menjadi Timbalan Perdana Menteri oleh Najib dengan tambahan 4 kerusi kabinet bagi membentuk kerajaan camporan atau apa-apa yang hendak dinamakan kerajaan itu jika ia benar-benar terjadi. Nurul Izzah, Naib Presiden PKR telah membuka isu ini di Permatang Pauh minggu lepas dan ia mendapat reaksi yang agak panas terutamanya dari pemimpin senior UMNO. Di antara yang menyangkal perjanjian rahsia ini ialah Khairy Jamaludin, Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan Ahli Jemaah Kabinet yang termuda dalam kerajaan Malaysia itu.

Dimana Nurul tahu tentang perjanjian rahsia itu, tentulah ia diberitahu oleh bapanya mungkin sewaktu makan atau wakrtu sarapan pagi kerana mereka adalah dalam satu keluarga. Lagi pula itu adalah rahsia diantara bapa dengan seorang anaknya dan bukannya dengan pemimpin atau ahli-ahli partinya. Tentulah bapa akan memberikan anaknya segala apa yang beliau lakukan samada secara terangan atau secara gelapnya.

Tetapi di antara Najib dengan Khairy atau pemimpin UMNO tertinggi yang lain, ia tidak seperti perhubungan di antara Anwar dan Nurul. Khairy bukan ahli keluarganya dan tentulah banyak yang Najib lakukan tidak akan diberitahu kepada pemimpin UMNO terutamanya Ahli-Ahli Jemaah Kabinetnya.

Saya tidak terkejut apa yang di sebut oleh Nurul Izzah itu benar kerana yang berunding ini ialah Anwar. Memanglah Anwar berkemampuan untuk melakukan perkara seperti ini kerana beliau pandai bercakap lain dengan pemimpin-pemimpin partinya dengan apa yang beliau lakukan. Depan lain, dibelakang lain.

Begitu jugalah Najib. Najib tidak akan memberitahu apa yang beliau rundingkan secara senyap dengan pemimpin-pemimpin UMNO dan perbuatannya itu pernah di buka rahsianya oleh Naib Presiden Indonesia, Yusuf Kalla.

Bagaimana seseorang itu menafikan berlakunya perjanjian rahsia yang mereka tidak pun tahu ia berlaku? Kita tidak terkejut kerana Najib sedang menghadapi masalah krisis keyakinan dan beliau tidak mendapat sokongan kuat dari Ahli-Ahli Kabinetnya secara kuat serta mempunyai tekanan dari dalam partinya sendiri.

Najib mahu melakukan apa sahaja asalkan beliau mendapat sambungan kepada tali hayat politiknya walaupun dari mereka yang bertentangan politik dengan beliau. Disebaliknya Anwar pun dalam keadaan desperado untuk menjadi PM negara ini. Kerjasama beliau dengan PAS mahu pun DAP merupakan kerjasama sementara beliau mendapat apa yang beliau hajati, dan beliau pun diperguna oleh parti-parti dalam PKR bagi mereka mendapat sokongan tambahan untuk terus menguasai sokongan dari rakyat yang tidak berkeyakinan dengan BN lagi.

Saya yakin dengan apa yang diperkatakan oleh Nurul Izzah itu dan perjanjian rahsia tidak boleh dinafikan oleh mereka yang tidak ada dalam perundingan itu. Ini politik Malaysia. Lagi pun sememangnya kita mempunyai slogan ‘the endless possibilities’ dan semuanya ini adalah ‘possible’ untuk berlaku.


Hanya yang terlajak kesana kemari ialah penyokong masing-masing. Penyokong Anwar begitu tegar membenci Najib dan Anwar mengarak mereka kehulu kehilir untuk berdemonstrasi tanpa mereka mengetahui yang Anwar dalam senyap-senyap telah bertemu dan berbincang dengan Najib. Anwar sememangnya dari dulu seorang yang ‘politically flirtatious’ yang tiada batasnya. Tetapi ini tidak difahami oleh mereka yang baru hendak bercakap tentang politik atau mendekati politik negara. Bagi yang lama-lama memahaminya dengan baik. Bak kata orang jauh perjalanan banyak pengalaman.

Oleh kerana perjumpaan rahsia itu terbongkar maka ia tidak dapat terlaksana kerana masing-masing terlalu takut dengan penyokong masing-masing kerana ia belum sempat hendak di muktamadkan.

Jika ia sempat dimuktamadkan bagaimakah kedudukan mereka dalam UMNO dan Pakatan Rakyat itu? Kata orang lulus jarum lulus kelendan. Jika Anwar berjaya memenuhi dan melaksanakan apa-apa yang beliau janjikan kepada Najib, bagaimana dengan pimpinan dalam DAP dan PAS? Atau reaksi pemimpin-pemimpin PKR yang telah berpeluh dan berkeringat menentang Najib?

Oleh kerana keadaan sudah berubah elok tidak disebut lagi apa-apa perjanjian sulit di antara kedua-dua Najib dan Anwar itu, kerana tidak semestinya sentiasa mendapat apa yang kita hajati.

Anwar kini sedang menjalankan hukuman di penjara setelah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan bersalah dalam isu sodomi2. Najib pula sedang berhadapan dengan masalah peribadi dan kepimpinannya yang sangat serius.

Najib sedang menghampiri persimpangan. Nak terus memimpin pun bermasalah, hendak bersara pun mempunyai masalah. Seperti juga Anwar, Najib menghadapi banyak masalah kerana sikap dan kesalahan mereka sendiri.

Masing-masing pandai-pandailah mencari dan penyelesaian masalah masing-masing. Sesungguhnya mencari masalah itu mudah tetapi mencari penyelesaiannya memerlukan usaha yang tidak ada tolok banding susahnya.

Tiada ulasan: