Jumaat, 20 Februari 2015

Guan Eng minta tambang feri tak dinaikkan

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
GEORGETOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang meminta Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) supaya meningkatkan mutu perkhidmatan ferinya sebelum bercadang menaikkan kadar tambang pengangkutan itu.
               
Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata cadangan kenaikan tambang feri itu adalah sesuatu yang tidak disangkakan dan pihaknya berharap SPPP tidak meneruskan cadangan itu selain menambah baik mutu perkhidmatan.
               
"Tetapi kalau perkhidmatan feri sama sahaja... sering rosak dan tidak ada feri baru... saya rasa ini tidak munasabah," katanya kepada pemberita di majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina Ketua Menter di George Town semalam.
               
Majlis itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff serta Timbalan Ketua Menteri I dan II, Datuk Abdul Rashid Hasnon dan Prof Dr P Ramasamy.
               
Selasa lepas, SPPP bercadang membuat semakan tariff bagi perkhidmatan ferinya.
               
Mengikut cadangan itu, kadar tambang motosikal bakal dinaikkan dari RM2 kepada RM3.50; kereta dari RM7.70 kepada RM9; pejalan kaki dari RM1.20 kepada RM2 dan basikal dari RM1.40 kepada RM1.50.
               
Harga tiket bermusim untuk pelajar turut dicadang dinaikkan kepada RM6 daripada RM3 manakala dewasa kepada RM50 daripada RM30.
               
Bagi lori dua gandar empat tayar, ia dicadang untuk dinaikkan kepada RM20 daripada RM13.20 sementara bagi lori dua gandar enam tayar, kepada RM40 daripada RM27.50.
               
SPPP telah mengeluarkan notis hebahan sejak Isnin lepas dengan pekelilingnya turut diletakkan di terminal feri di sebelah pulau dan tanah besar.
               
Orang ramai boleh mengemukakan pendapat mengenai kenaikan itu sebelum atau pada 2 Mac sebelum keputusan muktamad dibuat.

Tiada ulasan: