Isnin, 16 Februari 2015

BN tak perlu hampiri PRK Permatang Pauh, Chempaka – Kit Siang

Kit Siang

Roketkini.com


SERDANG – Barisan Nasional disaran menjauhi pilihanraya kecil di kedua-dua kawasan Parlimen Permatang dan juga DUN Chempaka yang bakal menjelang.

Saranan itu dibuat dengan tegas oleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam ceramah sulong solidariti bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim anjuran parti tersebut di Balakong semalam.

“Saya rasa mereka (Umno-BN) tidak akan bertanding di Chempaka, tetapi mereka akan bertanding di Permatang Pauh.

“Kalau mereka menitikberatkan perpaduan, saya seru Umno dan BN untuk tidak menghampiri Chempaka dan Permatang Pauh,” ujar Ahli Parlimen Gelang Patah tersebut.

Menurut beliau, Pakatan Rakyat sememangnya sedang berhadapan beberapa dugaan, manakala pemergian Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat Khamis lalu merupakan satu pukulan yang amat hebat kepada pakatan PAS, DAP dan PKR.

Namun Kit Siang percaya sekiranya Mursyidul-am PAS itu masih ada, beliau pastinya bersetuju agar Pakatan Rakyat kembali kepada dua prinsip yang menjadi rahsia kejayaan Pakatan.

“Yang pertama ialah Dasar Bersama; walaupun ada beberapa perbezaan, kita ketepikan; manakala yang kedua ialah prinsip konsensus yang memerlukan persetujuan ketiga-tiga parti dalam apa sahaja perkara,” jelasnya menerangkan petua kejayaan Pakatan menjelang PRU ke-14 akan datang.
Beliau terlebih dahulu memberi amaran bahawa Umno dan BN akan berusaha memburukkan krisis yang melanda Pakatan akhir-akhir ini dengan tujuan memecah-belahkan perikatan politik enam tahun itu.

Menurutnya, Umno-BN akan memperguna senario dua pilihanraya kecil yang bakal berlangsung ini demi memajukan agenda mereka bagi menghancurkan Pakatan Rakyat supaya mereka boleh selamat dalam PRU ke-14.

Kit Siang meramalkan bahawa Umno-BN tidak akan bertanding di Chempaka dengan alasan bahawa keutamaan di Kelantan ialah untuk membina semula negeri tersebut yang dilanda musibah banjir akhir tahun lalu.

Sedangkan parti pemerintah itu sudah pasti akan bertanding di Permatang Pauh, yang merupakan kerusi PKR.

Ura-ura kerajaan perpaduan antara Umno dan PAS kian hangat sejurus Nik Aziz meninggal dunia, memandangkan beliau sahajalah alasan usaha perpaduan itu tidak berjaya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: