Khamis, 19 Februari 2015

Aktivis: Gong Xi Fa Chai, tolaklah GST

MALAYSIAKINI


 


Gabungan Bantah GST mahu berdebat dengan menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan dan menteri kewangan berhubung pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Penyelaras gabungan itu, S Arutchelvan berkata cukai tersebut tidak sepatutnya dilaksanakan sekarang, memandangkan keadaan rakyat yang masih lagi berdepan kesusahan.

"Kerajaan guna televisyen dan radio setiap hari mengatakan GST ini bagus. Hari ini kita buat 'flash mob' disemua tol utama untuk menuntut GST dibatalkan. Kalau tak nak batal, tangguhkan dulu kerana rakyat kini merana dan menderita.

"Kita mahu minta debat dengan menteri berkenaan iaitu menteri perdagangan dan kewangan. Dan kita juga akan buat demonstrasi besar pada 21 Mac bagi tuntut bantah GST," katanya kepada KiniTV.

Sementara itu, seramai kira-kira 15 orang berhimpun dengan mengadakan perhimpunan di plaza tol Bandar Baru Bangi semalam bagi membantah pelaksanaan GST.

Mereka membawa sepanduk yang bertulis "tolak GST" dan "Gong Xi Fa Chai" dan berdiri di sepanjang tol sempena orang ramai balik ke kampung untuk perayaan Tahun Baru Cina.

Menurut Arutchelvan lagi, gabungan itu turut mengadakan aktiviti sama di beberapa tol di seluruh negara antaranya di plaza tol Juru dan Skudai.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata kenaikan harga barangan daripada pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bermula dari 1 April 2015 hanya bersifat "sementara" dan "sekali sahaja".

Malah, kata MP Pontian itu, pelaksanaan cukai tersebut tidak akan dipinda kerana kerajaan telah membuat pelbagai persediaan.

Tiada ulasan: