20 CCTV lokasi panas mula operasi
 
 
TAIPING – Pemasangan sebanyak 20 kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa kawasan panas yang dikenal pasti di sekitar Taiping, Kamunting, Changkat Jering dan Simpang sudah mula beroperasi sejak minggu lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Datuk Abdul Rahim Md Ariff berkata, operasi CCTV berkenaan dipantau oleh Bahagian Penguatkuasaan MPT di bangunan Wisma Perbandaran dan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.

Menurutnya, pemantauan di Wisma Perbandaran akan dibuat bermula jam 8 pagi hingga 10 malam manakala di IPD dalam tempoh 24 jam.

“Kita harap dengan adanya CCTV di beberapa kawasan yang dipilih ini mampu mencegah kejadian jenayah seperti ragut dan samun,” katanya pada sidang media selepas merasmikan bilik kawalan CCTV di tingkat 5, Wisma Perbandaran, di sini, semalam.

Tambah Abdul Rahim, pemasangan CCTV itu melibatkan beberapa kawasan seperti di Jalan Panggung Wayang, Jalan Istana Larut, Jalan Tupai, Jalan Masjid, Stesen Bas Kamunting, Taman Tasik Taiping, Jalan Kamunting dan persimpangan lampu isyarat Changkat Jering.

“Sehingga kini hanya 19 CCTV yang sudah beroperasi, manakala satu di Persimpangan lampu isyarat Changkat Jering masih belum beroperasi kerana mengalami masalah teknikal,” katanya.

Mengulas lanjut Abdul Rahim berkata, Taiping adalah salah satu dari tiga lokasi yang dipilih di negeri ini selain Teluk Intan dan Kuala Kangsar.

“Saya yakin dengan adanya CCTV ini mampu memberi impak positif dalam usaha mewujudkan kesejahteraan bandar khususnya di Taiping dan kawasan sekitarnya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Abdul Rahim berkata, melalui pemasangan CCTV khususnya di tempat-tempat awam seperti Taman Tasik Taiping dan Taman Tasik Kamunting, ia dilihat mampu membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) membuat pemantauan terhadap kejadian vandalisme.

“Sebelum ini, pernah dilaporkan bahawa pihak MPT terpaksa menanggung kerugian yang banyak akibat perbuatan vandalisme.

“Dengan adanya CCTV ini, kita dapat membuat pemantauan dalam jarak 150 meter melibatkan pusingan kamera 360 darjah.

“Selain itu, CCTV ini juga mempunyai pembesar suara yang boleh didengar dalam radius 50 meter,” katanya.

Jelasnya, pemasangan membabitkan kos sebanyak RM 3.2 juta daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ini dilihat mampu memberi kesan yang baik kepada bandar ini.

“Malah kos berkenaan juga turut melibatkan pemasangan, penyewaan dan penyelenggaraan selama lima tahun,” katanya.