Oleh V Shuman
Tamak haloba, pecah amanah, penentangan terhadap apa yang didakwa sebagai “tirani”, pemberontakan, mogok lapar dan ancaman maut. Tidak, ini bukan plot dalam filem “blockbuster” Hollywood atau drama Sepanyol.
Ini
adalah ramuan dalam MIC – sebuah parti yang ada lebih banyak drama
berbanding berkhidmat terhadap masyarakat. Sekurang-kurangnya ketika
di bawah pimpinan kini.
Parti itu terjunam ke dalam krisis selepas Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengarahkannya untuk mengadakan pemilihan semula bagi jawatan tiga naib presiden dan 23 ahli jawatankuasa kerja pusat (CWC), berikutan kejanggalan dalam pemilihan parti pada November 2013.
Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan pendaftaran parti itu dibatalkan.
Krisis
itu telah menyaksikan bermacam jenis insiden dramatik berlaku,
termasuk Presiden Datuk Seri G Palanivel bertindak secara “auto pilot”,
mengunci ibu pejabat parti bagi menghalang mereka yang tidak berpihak
kepadanya menyertai satu mesyuarat khas.
Beliau
juga secara bebas melantik orangnya sendiri memegang jawatan
tertinggi, di saat kesahan parti itu sendiri dalam keadaan terancam.
Ini
menyebabkan pertandingan jerit menjerit, carut mencarut, tolak menolak
dan aksi bertumbuk di antara ahli daripada kem berbeza.
Tidak
lupa juga sidang media baru-baru ini oleh seorang timbalan menteri,
yang mana beliau kononnya menerima ugutan bunuh melalui panggilan
telefon. Malah panggilan itu “kebetulan” diterima ketika sidang
berlangsung dan beliau membiarkan semua media mendengar panggilan itu.
Ada
juga mogok lapar oleh Datuk G Kumar Amman yang tidak bertahan lama.
Sama seperti protes itu, lantikannya sebagai Setiausaha Agung juga
tidak bertahan lama.
Terlalu banyak drama. Mungkin penulis skrip Bollywood boleh datang ke sini jika mereka kehabisan idea nanti.
Mereka
yang telah mengikuti kisah memalukan ini pasti berharap ia berakhir
selepas pengumuman Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
baru-baru ini. Beliau memaklumkan, MIC akan mengadakan pemilihan semula
di semua peringkat bermula April hingga Julai bagi menyelesaikan
krisis yang sedang berlaku.
Namun
tidak. Palanivel terus dengan tindakannya. Perkembangan terbaru
menunjukkan Timbalan Presiden Datuk Seri S Subramaniam mengumumkan
untuk bertanding jawatan presiden atas alasan “demi kepentingan
masyarakat India”.
Saya berpandangan,
klip audio yang tersebar di WhatsApp bulan lalu merumuskan persoalan
yang bermain dalam fikiran ramai masyarakat India.
Rakaman
itu menghentam pemimpin parti yang secara tiba-tiba terlebih semangat
membangkitkan masalah yang kini mereka hadapi. Beliau bertanya, “sejak
bila anda semua sebegini vokal ketika menjuarai hak masyarakat India?”
“Hanyalah
ketika kedudukan anda terancam, ketika anda hilang tempat, barulah
anda turun mencari publisiti. Kalaulah anda melakukan perkara yang sama
ketika memperjuangkan hak orang India.”
Sumber klip audio itu tidak diketahui. Namun saudara, siapa sahaja anda, tepat sekali kata-kata itu. Sangat tepat.
Ini
satu pesanan untuk Palanivel. Tuan, semuanya sudah jelas di depan
mata. Masyarakat India tidak mahukan anda, malah ahli parti anda
sendiri juga tidak mahukan anda.
Memegang
kuasa dengan sekumpulan konco sendiri adalah satu kebodohan. Keenggana
meletakkan jawatan ketika anda sendiri tahu telah gagal hanya
menunjukkan keburukan diri, parti, masyarakat India secara umum dan
malah Barisan Nasional.
Cukuplah
dengan drama, dan cuba bekerja dengan semua pihak untuk menstabilkan
kedudukan MIC dalam BN. Atau pun, teruskan sahaja apa yang anda lakukan
dan berhadapan dengan risiko dibatalkan pendaftaran.
Hakikatnya, wujud atau tidak MIC tidak membawa apa-apa perbezaan kepada masyarakat India. MIC sudah tidak relevan sejak 2008.
Kepada
pemimpin parti yang berkeras mahu berpaut kepada kuasa, ingatlah –
untuk berkhidmat kepada masyarakat, anda tidak semestinya memiliki
apa-apa jawatan politik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan