Ahad, 11 Januari 2015

Tuduhan Jakim Promosi Ekstremisme Tak Bertanggungjawab - Jamil Khir

Oleh: IWAN SHU-ASWAD SHUAIB
 
 
Jamil Khir Baharom.
 
 
PETALING JAYA: Dakwaan peguam hak asasi manusia, Eric Paulsen bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempromosi fahaman ektremisme pada setiap Jumaat disifatkan sebagai pelakuan tidak bertanggungjawab yang serius, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Menerusi kenyataanya pada Sabtu, beliau berkata, tuduhan berkenaan bersifat provokasi kepada keharmonian antara agama yang dinikmati selama ini.

Jelasnya, kenyataan itu boleh ditafsir secara mudah bahawa ia merujuk kepada khutbah Jumaat.
“Saya ingin menjelaskan bahawa Islam menjadikan khutbah Jumaat sebagai rukun dalam solat Jumaat. Ia tidak pernah sama sekali menggalakkan ekstremisme atau keganasan dalam apa jua bentuk.

“Sebaliknya, ia menyeru, mengajak serta menasihatkan orang ramai ke arah kebaikan serta mengamalkan ajaran Islam yang sebenar.

“Khutbah Jumaat juga termasuk dalam aktiviti dakwah secara lisan yang berunsur pendidikan dengan maksud memberi nasihat keagamaan, menaikkan semangat dan menimbulkan keinsafan serta diambil kesempatan juga bagi menyampaikan dasar-dasar negara dan isu-isu semasa hanya sesama orang Islam.

“Adakah peringatan sesama umat Islam ini wajar dikatakan sebagai ekstrem?,” jelaskan bagi menepis dakwaan itu.

Eric menerusi catatannya di laman sosial Twitter berkata: "Jakim sedang mempromosikan ekstremisme setiap Jumaat. Kerajaan perlu menanganinya jika serius mahu banteras ekstremisme di Malaysia.”

Jamil Khir berkata, bagi mengelak matlamat itu tersasar daripada objektif khutbah Jumaat yang sebenar, maka ia telah diseragamkan dengan penerbitan teks.

Tambahnya, Jakim berperanan untuk menerbitkan teks khutbah Jumaat dan menyelaras aktiviti di atas mimbar sebagaimana pentadbiran tempat ibadat agama lain yang juga mempunyai aktiviti dan pentadbiran tersendiri.

“Oleh kerana kenyataan beliau ini boleh dianggap sebagai dakwaan yang sengaja mencetuskan sensitiviti umat Islam tanpa sebarang asas, saya telah meminta Jakim membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

“Saya mahu mengingatkan orang ramai supaya berhenti daripada mencipta atau menyebarkan sebarang bentuk maklumat yang boleh mengganggu keharmonian masyarakat,” katanya.

Tiada ulasan: