Khamis, 22 Januari 2015

SYABAS nafi gangguan bekalan air 36 jam di Selangor

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
  
 
KUALA LUMPUR: Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) menyangkal dakwaan berlaku gangguan air selama 36 jam di seluruh Selangor seperti yang tersebar menerusi aplikasi WhatsApp dan Facebook.
 
Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam, Priscilla Alfred, berkata pemantauan SYABAS mendapati ada pihak tidak bertanggungjawab cuba menyebarkan maklumat palsu dengan niat menimbulkan panik dalam kalangan pengguna.
 
"Maklumat yang tersebar itu tidak benar kerana gangguan selama 36 jam yang berlaku adalah merujuk kerja kecemasan membabitkan pembaikan paip pecah di jajaran paip utama bersaiz 1200 milimeter dari Loji Semenyih ke Bandar Bukit Mahkota, Sepang.
 
"Kerja kecemasan ini hanya membabitkan gangguan bekalan air di sebahagian kawasan di Daerah Hulu Langat dan Sepang saja," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
 
Katanya, kerja kecemasan itu sudah disiapkan sepenuhnya dan bekalan air sudah disambung semula kepada pengguna.
 
SYABAS juga menjangkakan bekalan air di semua kawasan terbabit akan pulih sepenuhnya menjelang jam 8 pagi esok seperti yang dinyatakan dalam kenyataan menerusi media Selasa lalu.
 
"SYABAS menyeru pengguna tidak membuat spekulasi atau sengaja mencipta berita palsu yang boleh menimbulkan panik dalam kalangan orang awam khususnya pengguna di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya," katanya.
 
Pengguna disaran melayari laman sesawang SYABAS iaitu www.syabas.com.my untuk mendapatkan maklumat terkini.

Tiada ulasan: