Khamis, 8 Januari 2015

Surat pertahan ‘raja judi’, antara Zahid-PDRM siapa benar? – Fahmi

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil mempersoal siapa sebenarnya bercakap benar dalam isu tindakan Menteri Dalam Negeri mengutus surat sokongan kepada Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) bagi mempertahan raja judi Paul Phua Wei-Seng.

Beliau merujuk laporan Malaysiakini semalam – “Zahid didn’t tell police about FBI letter” yang memetik sumber Polis DiRaja Malaysia (PDRM), bahawa Datuk Seri Zahid Hamidi tidak merujuk pihak polis sebelum menghantar surat tersebut kepada FBI berkenaan status Phua.

“Laporan tersebut juga memetik sumber PDRM sebagai berkata, laporan PDRM yang diberi kepada FBI berkenaan Phua dan kumpulan kongsi gelap 14K adalah benar.

Zahid“Jika sumber yang dipetik Malaysiakini itu sahih dan benar, perkara ini cukup mengejutkan dan implikasinya amatlah berat.

“Bukan sahaja kepada Datuk Seri Zahid selaku Menteri Dalam Negeri yang menulis surat rahsia tersebut, tetapi juga kepada Datuk Seri Shafee Abdullah yang berkata bahawa laporan PDRM mengenai Phua adalah tidak betul,” kata Fahmi dalam kenyataan.

Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) itu juga mendesak Zahid menjawab secara terbuka tentang pelbagai isu yang timbul akibat surat sokongan rahsia ini bagi mengelak spekulasi rakyat.

“Masanya telah tiba untuk Zahid menjawab secara terbuka tentang pelbagai isu yang timbul akibat “surat sokongan” rahsia ini, untuk mengelak spekulasi dari terus bermain di fikiran rakyat Malaysia.

“Saya juga berharap Datuk Seri Najib Razak dan Kabinet yang akan bertemu hari ini akan pastikan Zahid akan tampil dengan jawapan yang jelas kepada isu ini.

“Pada masa sama, jika sumber PDRM yang dipetik Malaysiakini ini sahih dan benar, Shafee juga perlu disoal mengapa apa yang beliau sebut berlainan dari apa yang disebut sumber PDRM ini. Siapakah yang benar dalam isu ini?” soal Fahmi lagi.

Zahid sebelum ini didakwa menulis surat rasmi kepada Timbalan Pengarah FBI, Mark F Guiliano menafikan Phua terlibat dalam kongsi gelap 14k Triad.

Zahid dalam surat bertarikh 18 Disember 2014 itu juga menyatakan Phua membantu Malaysia dalam perkara ‘keselamatan negara’ dan berharap Phua dapat pulang ke Malaysia.

Surat itu didedahkan dalam akhbar Hong Kong, South China Morning Post, dikatakan dibuat atas permintaan Shafee yang juga peguam mewakili Phua.

Sebuah portal melaporkan, sejak 2008, PDRM telah mengenalpasti tiga rakyat Malaysia sebagai anggota kumpulan kongsi gelap 14K.

14K Triad adalah kumpulan kongsi gelap berpangkalan di Hong Kong tetapi aktif di peringkat antarabangsa.

Tiada ulasan: