Noor Rashid Ibrahim Noor Rashid Ibrahim
 
 
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini mengambil langkah berjaga-jaga dan meningkatkan tahap keselamatan negara susulan  serangan 'ala militan' yang berlaku di Paris dan Australia.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata biarpun setakat ini tiada sebarang ancaman yang diterima namun PDRM  tetap mengambil langkah memantau aktiviti kumpulan dan individu tertentu di negara ini.

"Kita sudah pertingkatkan pemantauan dan menguatkan lagi jaringan risikan bagi memastikan kita tahu setiap pergerakan kumpulan dan individu yang disyaki," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya mengenai langkah polis berikutan insiden Rabu lepas, tiga orang bersenjata api dan bertopeng melepaskan tembakan di pejabat Charlie Hebdo di Paris sehingga menyebabkan 12 orang terbunuh dan tiga lagi cedera parah dengan Presiden  Perancis Francois Hollande menyifatkannya sebagai "serangan pengganas".

Di Sydney, Australia, dua tebusan dan seorang lelaki bersenjata kelahiran Iran terbunuh setelah polis Australia bertindak menyerbu sebuah kafe  bagi menamatkan pengepungan lebih 16 jam oleh suspek yang menawan 17 orang sebagai tebusan pada 15 Disember lalu.

PDRM telahpun bertindak dalam membendung aktiviti militan di negara ini, terutamanya kumpulan militan IS dengan sehingga kini menahan 51  individu rakyat tempatan yang cuba menyertai atau membantu kumpulan militan IS di Syria dan Iraq. - Bernama