Rabu, 14 Januari 2015

Selepas isu K-Pop, PAS gesa pihak berkuasa sekat program ‘sesatkan’ umat Islam

THE MALAYSIAN INSIDER


Kumpulan artis Korea B1A4 yang mencetuskan kontroversi pada Sabtu apabila memeluk dan mencium beberapa gadis Melayu bertudung semasa konsert mereka di Kuala Lumpur. – Gambar fail The Malaysian Insider, 14 Januari, 2015. Kumpulan artis Korea B1A4 yang mencetuskan kontroversi pada Sabtu apabila memeluk dan mencium beberapa gadis Melayu bertudung semasa konsert mereka di Kuala Lumpur. – Gambar fail The Malaysian Insider


Selepas isu gadis Melayu didakwa "dicabul" artis K-Pop dari Korea Selatan, PAS ‎menggesa pihak berkuasa agar menyekat segala bentuk program yang akan menjerumuskan umat Islam ‎kepada kemungkaran, lapor portal The Star Online.

Ketua Jabatan Alimat Dewan Ulama PAS Mastura Ismail berkata,  tindakan membiarkan lambakan program yang menyebabkan keruntukan akhlak kepada remaja Islam di negara ini dikhuatiri mengundang kemurkaan daripada Allah .

"Sebagai Muslimah dan ibu kepada para remaja, Jabatan Dewan Alimat PAS Pusat memandang serius terhadap gejala keruntuhan akhlak remaja Muslimah kini dan dibimbangi ia mengundang kemurkaan Allah yang lebih besar lagi," katanya seperti dilaporkan portal tersebut.


Menurut Mastura, pihak berkuasa perlu memandang serius terhadap lambakan program tersebut kerana Malaysia merupakan sebuah negara di mana Islam merupakan agama rasmi yang perlu mengikut syariat agama untuk mencegah kemungkaran. Mastura mengulas mengenai aksi gadis bertudung berpelukan dengan artis kumpulan lelaki K-Pop B1AF dalam satu konsert ‎yang mencetuskan kontroversi.

Aksi tersebut yang dirakam kemudian dimuat naik dan tersebar luas di Internet ‎dan mengundang kritikan orang ramai.

Semalam Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Mahfuz Omar menggesa penganjur konsert itu diambil tindakan.


Sambil mempersoalkan tindakan penganjur yang membenarkan gadis bertudung diperlakukan sebegitu, Mahfuz turut mempersoalkan adakah terdapat garis panduan pihak berkuasa dalam penganjuran konsert.

"‎Kita juga mahu tahu adakah artis kumpulan tersebut menerima garis panduan untuk mereka membuat persembahan di Malaysia," katanya.

Sementara itu Ahli Jawatankuasa PAS Nik Mohamad Nik Abduh Nik Aziz berkata isu mengenai gadis bertudung itu kini sudah di tahap membimbangkan.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu mendakwa, terdapat penjualan arak secara terbuka semasa konsert K-Pop itu.

"Ini adalah kesan daripada globasisasi yang tanpa adanya sekatan.

"Budaya baru ini merendahkan maruah manusia," katanya dalam satu kenyataan.

Susulan kontroversi itu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berkata akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap penganjur konsert persembahan artis K-Pop.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha berkata, perbuatan beberapa gadis Melayu bertudung dipeluk dan dicium oleh anggota artis K-Pop, B1A4, pada Sabtu lepas adalah sesuatu yang sangat memalukan rakyat Malaysia terutamanya umat Islam.

Selain itu, Jawi juga menggesa gadis Melayu terbabit untuk tampil bagi membantu siasatan.

Tiada ulasan: