Sehelai baju sekolah untuk anak pantai timur
 
 
SHAH ALAM – Setelah berusaha membahagiakan golongan-golongan memerlukan sempena sambutan perayaan saban tahun melalui tim Sehelai Baju Buat Menyapu Si Air Mata, badan sukarelawan ini kembali lagi dengan Titian Kasih Baju Sekolah Pantai Timur.

Ia ekoran keprihatinan mereka atas nasib yang menimpa murid-murid sekolah di beberapa buah negeri yang terjejas teruk akibat bencana banjir yang melanda.

Pengerusi Penyelarasnya, Ahmad Sa’abun berkata, keperluan lain telah diusahakan banyak pihak, namun pihaknya melihat keperluan baju sekolah juga penting buat murid-murid untuk memulakan sesi persekolahan.

“Apabila berlaku banjir, banyak NGO, individu, agensi kerajaan membantu mangsa dari segi keperluan asas termasuk peruntukan untuk baiki infrastruktur.

“Baju sekolah juga keperluan asas buat anak-anak. Mereka perlukan baju, beg, kasut untuk ke sekolah,” katanya kepada Sinar Online.

Menurut Ahmad, pihaknya menggunakan modus operandi sama seperti mengendalikan pemberian baju raya.

“Pengalaman lima tahun kita uruskan baju raya itu...kita tahu keperluan dan modus operandi. Kita tak boleh bawa baju secara rambang datang ke sekolah tanpa tahu saiz.

“Jadi, kami telah berhubung dengan pihak sekolah terlibat tapi perlu tunggu pelajar masuk sekolah dahulu kemudian mereka akan serahkan senarai pelajar dengan saiz. Dari situ baru kita tahu mana pelajar yang benar-benar perlu,” katanya.

Malah katanya, projek kali ini berskala lebih besar dengan penglibatan beberapa badan lain yang turut mempunyai hasrat sama.

“Kita bekerjasama dengan Persatuan Alumni UiTM Malaysia, Pertubuhan Solidariti Madani Malaysia, Blackhawk Bikers dan Hayabusa Gruop Bikers.

“Kita juga dapat harga istimewa daripada pengeluar pakaian sekolah berjenama Canggih,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya mengajak orang ramai menyumbang bagi membiayai kos pembelian pakaian sekolah buat pelajar yang menjadi mangsa banjir.

“Siapa saja kita hari ini bermula dengan sepasang baju sekolah. Sama warna baju, kain atau seluar. “Apabila kita sudah berjaya hari ini, apa salahnya kita sumbang sepasang baju juga kepada pelajar-pelajar lain yang memerlukan?,” katanya.

Pihaknya mensasarkan 4,000 pasang baju sekolah dapat dihulurkan kepada pelajar-pelajar di Pantai Timur.

Orang ramai boleh berhubung terus dengan Ahmad melalui nombor 016-2151192.